Tuesday, 28 August 2018

Krisis identiti punca perbuatan lawan jantina

Isu transgander menjadi hangat apabila polimik isu tersebut turut dipolitikkan sehingga sepertilah menjadi masalah besar kepada negara sehingga isu-isu lain terpinggir. Isu transgander ini dipolimikkan sehingga penggunaan istilah seperti “pondan”, “lelaki berpakaian wanita” dan “transvestite” turut dikatakan tidak sesuai dan dianggap satu 'penghinaan' terhadap golongan tersebut. Mereka ingin dipanggil istilah yang lebih diterima seperti “Mak Nyah” ataupun hanya merujuk mereka menggunakan kata nama jantina yang mereka pilih.

Pondan, mak nyah, kedi, lembut dan panggilan-panggilan yang seumpama merujuk kepada lelaki yang bersifat perempuan. Sebenarnya, terdapat tiga golongan yang dikategorikan sedemikian, termasuk transexual (mereka yang menjalani pembedahan menukar jantina), transvestite (mereka yang sekadar berasa perlu berpakaian atau berkelakuan mengikut jantina berbeza) dan homoseksual (mereka yang cenderung pada kaum sejenisnya).

Golongan yang dikategorikan transvestite sekadar suka bergaya ala orang perempuan dan pada hakikatnya mereka sedar dan masih ingin kekal sebagai lelaki. Malah, sebahagian mereka dalam tempoh tertentu akan kembali menjadi lelaki normal biarpun masih kelihatan lembut, terutama apabila sudah berkahwin.   

Transvestism ialah amalan berpakaian dan berperangai yang bertentangan dengan jantina. Fenomina ini mula berlaku sekitar tahun 1910an. Perkataan transvestism mula diperkenalkan oleh Magnus Hirschfeld yang bermaksud ‘berlawanan’ dengan norma jantina, contohnya lelaki yang berminat berpakaian wanita dan sebaliknya.

Manakala anak yang dikategorikan sebagai transexual pula bukan setakat suka beraksi seperti wanita tetapi golongan ini menyimpan hasrat untuk menukar jantina.

Golongan ini adalah golongan lelaki yang ingin menjadi wanita kerana berasa diri mereka terperangkap dalam tubuh lelaki. Mereka bencikan bentuk tubuh mereka. Mereka ingin menghapuskan bulu-bulu di badan dan ingin mengencangkan buah dada.

Golongan inilah yang cenderung melakukan pembedahan untuk menukar penampilan mereka. Kajian rata-rata menunjukkan tidak terdapat sebarang punca dari segi biologi dan ia dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan persekitaran seseorang. 

Sebagai contoh, anak yang tidak mempunyai seorang ayah sebagai contoh dalam keluarga atau ayah yang tidak banyak terlibat dalam pembangunan anak dan keluarga boleh merangsang keadaan sebegini. Ada kalanya juga sesetengah ibu bapa yang terlalu inginkan anak perempuan kemudian memilih untuk mengenakan anak lelaki dengan pakaian anak perempuan juga boleh menjadi penyebab.   

Apa yang masyarakat sekeliling sedari ialah tentang kecenderungan kumpulan sebegini menjadi bahan usikan yang sekali gus hanya akan membuat mereka berasa lebih sunyi dan ingin bersikap tertutup. Adalah lebih baik untuk menghentikannya semasa anak itu masih kecil.

Pun begitu, jangan lakukan secara membabi buta. Lakukan secara berhemah. Perlu ada keseimbangan. Nyatakan yang kelakuannya tidak dapat diterima dan dia perlu berubah. Bimbing dan beritahu mereka perbuatan itu salah dan perlu dihentikan.  

Sebagai contoh, jika anak itu sengaja menggunakan suara lembut ketika bercakap-cakap, jangan mempedulikan kata-katanya sehingga dia kembali menggunakan suara asalnya. Sekiranya ibu bapa berasa sukar untuk membantu anak kembali ke jantina asalnya, ada baiknya anak itu dibawa ke doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

Individu berkaitan perlu diyakinkan bahawa krisis identiti ini merupakan sesuatu yang boleh dirawat atau diubah, dan seseorang itu boleh diyakinkan untuk berhenti menjadi transgender. Golongan ini perlu dibantu untuk berubah dan bukannya dihina dan dicaci. Liputan positif yang diberikan kepada komuniti transgender terlampau sedikit.

Justeru, untuk dipandang dari sudut sisi yang baik, golongan tranggender itu sendiri perlu mempunyai keinginan untuk berubah dan meninggalkan alam kehidupan berkenaan secara perlahan-lahan.

Sikap setengah pihak yang berkeras untuk mempertahankan 'hak' golongan mak nyah untuk terus hidup di alam khayalan mereka bukan membawa kepada arah kebaikan, sebaliknya menambahkan semangat golongan itu untuk terus hidup mengikut apa yang diingini.  

Sesungguhnya, bimbingan berdasarkan kehendak agama perlu diamalkan. Namun, ada pula golongan yang cuba liberal dalam soal ini apabila menyokong dan mempertahankan kecenderungan golongan mak nyah, contohnya dalam soal berpakaian menyerupai wanita atas dasar hak kebebasan. Sokongan itu tidak mengubah kepada keadaan lebih baik. 

Sesungguhnya, komuniti transgender perlu dibimbing dan menjalani kehidupan mereka, bekerja, mempunyai kehidupan peribadi dan melakukan aktiviti harian tanpa perlu bimbang tentang diskriminasi dan gangguan.

No comments:

Post a Comment