Wednesday, 29 August 2018

Lelaki wanita ada kelebihan berbeza

Setiap kejadian dan makhluk di muka bumi ini dicipta oleh Allah secara berpasang-pasang sebagai melengkapkan keperluan dan membezakan fungsi yang menunjukkan kekuasaan-Nya. 

Manusia dicipta secara berpasangan dengan adanya lelaki dan wanita. Antara lelaki dan wanita dicipta perbezaan agar saling melengkapkan antara satu sama lain.  

Memang tidak dapat disangkal, antara lelaki dan wanita saling memerlukan untuk menjadikan hidup ini sempurna dan tenteram. Tidak sempurna lelaki tanpa adanya wanita dan begitulah tiada ertinya wanita tanpa ada lelaki.

Sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang berbeza, lelaki dan wanita mempunyai tanggungjawab yang berbeza antara satu sama lain. Jadi, tidak wujud pertindihan peranan yang berkaitan dengan jantina.   

Allah memberi hak yang lebih terhadap lelaki dalam hal tertentu, dan kelebihan yang lain pula kepada wanita. Lelaki dilantik menjadi pemimpin keluarga, dilebihkan dalam soal melakukan ibadat berterusan, mendapat bahagian lebih dalam pembahagian harta pusaka, wali dan talak.

Tetapi wanita juga mempunyai kelebihan dalam melahirkan zuriat, diringankan dalam soal ibadat, mendapat saraan daripada lelaki dan tanggungjawab yang lebih ringan berbanding lelaki. 

Dengan kata lain, lelaki dan wanita mendapat keistimewaan berbeza bagi membolehkan antara lelaki dan wanita saling memerlukan dan menggunakan keistimewaan itu. Keistimewaan itu harus disyukuri dan dipergunakan sepenuhnya tanpa ada perasaan irihati atau prejudis. 

Lelaki perlu bersyukur dilahirkan sebagai lelaki, dan wanita pula wajar berbangga kerana dia adalah wanita. Ini penting untuk mengelak konflik jantina. Realitinya, ada lelaki berminat menjadi wanita dan ada wanita pula berminat menjadi lelaki.     

Perbezaan jantina pada perwatakan, peranan, dan semangat perlu dizahirkan. Tetapi, ini tidak pula bermakna adanya diskriminasi jantina dalam Islam.   

Setiap orang mempunyai peranan berbeza mengikut kemampuan masing-masing. Perbezaan ini bukan saja melibatkan lelaki dan wanita, tetapi sesama lelaki sendiri mempunyai perbezaan bagi setiap orang. 

Sebenarnya, Allah tidak membeza-bezakan dalam soal siapa harus melakukan kebaikan. Perintah melakukan kebaikan ditujukan kepada semua orang mengikut kemampuan dan kedudukannya.

Setiap orang berhak melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan negaranya. Wanita juga mampu menyumbangkan tenaga mengikut kemampuan tersendiri ke arah pembangunan ummah.  

Maruah dan hak wanita terbela dengan kedatangan Islam. Islam menyelamatkan wanita daripada penindasan dan nasib buruk akibat diperlakukan lelaki yang tidak menghargai kehadiran wanita di sisinya. 

Sejak zaman Rasulullah, wanita telah dibenarkan menyumbang tenaga, fikiran dan kepakaran untuk kepentingan semua. Wanita bukan saja melakukan tugas yang secara tabie sesuai untuk mereka. 

Ada di kalangan wanita yang mempunyai kemampuan sama dengan lelaki yang mana membolehkan bersama-sama dalam melaksanakan tugas seperti lelaki.

Wanita pada zaman Rasulullah ada yang turut sama ke medan peperangan. Mereka ditugaskan melakukan tugas di bahagian belakang sesuai dengan keupayaan. Namun, mereka juga bersedia berjihad menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengambil alih tugas di bahagian hadapan. 

Sesiapa sanggup berada di medan peperangan berani berdepan kemungkinan terkoban atau menjadi tawanan perang. Musuh tidak memilih siapa yang akan menjadi mangsanya.

Sumbangan wanita amat diperlukan dalam strategi mengelirukan pihak lawan. Biasanya orang tidak menyangka wanita yang dianggap lemah akan melakukan tugas-tugas yang berbahaya. Jadi, pihak musuh tidak syak wasangka dan mudah terpedaya.

Kita dapat perhatikan dalam sejarah Hijrah di mana Asma binti Abu Bakar telah menjadi wirawati menjayakan hijrah Rasulullah. Tanpa keberanian Asma bertindak menghantar bekalan makanan kepada Rasulullah dan Abu Bakar di Gua Thur dan menyampaikan maklumat mengenai rancangan kafir Quraisy, tentu rancangan hijrah tidak berjalan lancar.

Kafir Quraisy sebenarnya tidak menduga Asma sedang melaksanakan satu tugas besar. Pada anggapan mereka Asma keluar dari rumah sekadar melihat-lihat ternakan kambingnya di luar kota Makkah. 

Kaedah penggunaan wanita ini turut dilakukan dalam pengintipan peperangan moden. Wanita menjalankan tugas yang lebih besar berbanding lelaki, yang mana maklumat yang dibekalkan wanita mungkin menyelamatkan negara daripada ancaman musuh.

Peningkatan bilangan pelajar wanita di institusi pengajian tinggi membolehkan mereka menyertai bidang profesional dan pentadbiran sama ada kerajaan maupun swasta. Sumbangan wanita dalam pembangunan negara tidak lagi sekadar ‘nasi tambah’.

Kini semakin ramai wanita menyertai profesion yang dahulunya hanya dimonopoli kaum lelaki seperti sebagai tentera, polis, bomba, juruterbang, pemandu kenderaan awam, jurutera, buruh binaan dan usahawan berjaya.    

Keterlibatan wanita dalam bidang yang dulu dimonopoli lelaki bukan bermakna wanita mencabar kewibawaan lelaki, tetapi sebagai sumbangan tenaga bersama untuk kemajuan ummah. 

No comments:

Post a Comment