Sikap menangguhkan daripada
melakukan perkara yang baik adalah satu tindakan yang merugikan. Perbuatan menangguh perkara yang
baik samalah menolak peluang masa dan kesempatan yang diberikan.
Sikap bertangguh bermakna kita tidak
bersungguh-sungguh, tidak menghargai, tidak penting, tidak ikhlas inginkan
sesuatu dan tidak terfikirkan akan sesuatu yang sepatutnya kita lakukan.
Ajaran Islam amat melarang sifat
suka bertangguh melaksanakan sesuatu kebaikan yang perlu dilakukan. Kita hidup
di dunia hanya sekadar sebagai perhentian sementara mencari bekal sebelum
menuju kehidupan kekal di akhirat.
Sebenarnya terlalu banyak tugas yang
perlu yang perlu kita lakukan dalam tempoh masa yang singkat ini. Jadi jika
kita mengamalkan sikap bertangguh, sudah pasti banyak tugasan tidak dapat
dilakukan dengan baik.
Kepentingan masa dalam kehidupan
kita diberi peringatan oleh Allah amat jelas. Dalam surah al-Ashr, Allah
memulakan firman-Nya dengan peringatan ‘demi masa’. Allah memperingatkan
mengenai kepentingan masa dan amalan sebagai bekal hidup di akhirat.
Justeru, kita tidak harus melakukan
perbuatan yang merugikan dalam kehidupan seharian. Masa untuk kita meneruskan
hidup bukan semakin bertambah. Sebenarnya setiap saat yang berlalu, bermakna
sesaat juga kita semakin menghampiri kepada saat kematian.
Kebiasannya kita mudah leka apabila
menyebut bahawa usia kita semakin bertambah. Hakikatnya yang sebenarnya ialah
bilangan masa yang telah dilalui yang bertambah, bukannya usia kita.
Oleh sebab itu, peluang yang masih
ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan ibadat dan perkara baik.
Banyak orang yang terpedaya kerana menyangka usianya akan mencapai tua dan
ketika itu baru mereka ingin bertaubat dan melakukan kebaikan.
Tidak semua orang berpeluang
mencapai usia tua. Kita dapat perhatikan sekarang ini ramai anak muda yang
meninggal akibat kemalangan jalan raya.
Sama ada kita sedar atau tidak, setiap kali bertangguh, bermakna mencuri
masa yang sepatutnya dilakukan perkara lain pada masa akan datang. Contohnya
bertangguh melakukan sesuatu sehingga esok, sedangkan esok sepatutnya dilakukan
perkara lain. Maka tertangguhlah pula apa yang sepatutnya dilakukan esok,
sedangkan masa berlalu tanpa dapat ditangguhkan.
Pepatah yang menyebut masa itu emas
memberi peringatan kepada kita betapa berharganya masa. Sudah tentu tidak
mungkin ada orang yang sanggup membiarkan emas hilang begitu sahaja. Tetapi
disebabkan sudah terbiasa membazirkan masa, kita tidak merasakan apa apa yang
merugikan biarpun kehilangan banyak masa.
No comments:
Post a Comment