Pemilihan jawatan dalam perhimpunan
agung UMNO memperlihatkan selari antara teras demokrasi dan toleransi yang
telah diamalkan oleh UMNO sejak dulu lagi. Demokrasi yang total ternyata
bukanlah kunci kekuatan kalau tidak disokong dengan toleransi. Kalau ada
jawatan yang tidak dipertandingkan bukanlah bermakna demokrasi sudah
dikembirikan dalam pemilihan jawatan dalam UMNO.
Jawatan Presiden UMNO misalnya hanya
empat kali dicabar sepanjang sejarah pemilihan UMNO. Pada 1950 dan 1951 jawatan
ini dikenali sebagai Yang diPertua. Ini memperlihatkan kesepakatan yang diamalkan
oleh UMNO walaupun secara luaran seolah-olah menafikan hak memilih oleh para
perwakilan yang menghadiri pemilihan UMNO.
Pada mesyuarat agung UMNO keenam
tahun 1951, jawatan Yang diPertua yang disandang oleh Tunku Abdul Rahman
dicabar oleh dua calon lain iaitu C.M Yusof dan Haji Ahmad Fuad Hassan. Pada
mesyuarat agung itu yang sekarang dikenali sebagai Perhimpunan Agung UMNO,
Tunku mencapai kemenangan besar dengan mendapat 57 undi sementara C.M Yusof
mendapat 11 undi dan Haji Ahmad Fuad hanya mendapat tujuh undi.
Pertandingan antara ketiga-tiga
tokoh UMNO ini agak sengit. Tetapi Tunku yang sudah mencipta nama sebagai
pemimpin UMNO dan juga seorang yang terpelajar berjaya meyakinkan ahli-ahli
untuk diserahkan tugas sebagai pemimpin nombor satu UMNO. Tetapi yang
menariknya, pertandingan tiga penjuru ketika itu tidak memecahkan UMNO kepada
beberapa puak.
Barangkali hasrat semua ahli UMNO
ketika itu adalah satu iaitu untuk memperjuangkan kemerdekaan negara, soal
kalah menang bukan agenda penting. Ini kerana siapa saja yang menang akan
memikul tugas utama membawa negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-29
pada tahun 1978, sekali lagi jawatan tertinggi parti itu dicabar. Walaupun
jawatan tertinggi itu tidak banyak dicabar dalam Perhimpunan Agung UMNO tetapi
atas desakan demokrasi, penyandangnya Hussein Onn berdepan dengan pencabar
tunggal, Suleiman Palestin.
Walaupun pada perhimpunan agung itu
Presiden UMNO dicabar tetapi Tun Hussein tidaklah terasa kedudukannya goyah.
Ini kerana pengaruh pencabarnya, Suleiman Palestin dianggap tidak memberikan
kesan yang besar kepada Hussein yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
Pertandingan merebut jawatan
Presiden UMNO yang paling besar dalam sejarah UMNO ialah pada Perhimpunan Agung
UMNO ke 38 tahun 1987. Malah pada pemilihan jawatan tahun berkenaan juga UMNO
kelihatan seolah-olah berpecah kepada dua kumpulan dan popular dengan nama Team
A dan Team B.
Gelombang perebutan jawatan Presiden
UMNO ketika itu dirasai oleh semua orang UMNO dan juga rakyat lainnya. Presiden
UMNO ketika itu Dr. Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah di
mana ahli UMNO berpecah kepada Team A yang menyokong Dr. Mahathir dan Team
B yang menyokong Tengku Razaleigh.
Pertandingan ini sangat sengit
kerana pengaruh Tengku Razaleigh yang sangat kuat ketika itu tambahan pula Team
B juga turut disokong oleh beberapa menteri dan timbalan menteri. Tahun
1987 adalah tsunami bagi UMNO kerana gelombangnya memberikan kesan yang sangat
besar kepada UMNO selepas itu hingga membawa kepada pengharaman UMNO.
Dr. Mahathir mencatat kemenangan
dengan mendapat 761 undi sementara Tengku Razaleigh mendapat 718 undi.
Kemenangan tipis Dr. Mahathir itu menyerlahkan lagi perpecahan dalam UMNO
kepada dua kumpulan. Ada penganalisis politik berkata, kekalahan Tengku
Razaleigh pada perebutan jawatan Presiden UMNO itu disebabkan tercetusnya isu
Tengku Razaleigh memakai tengkolok yang berimej salib pada saat-saat akhir
sebelum hari pemilihan.
Benar atau tidak tanggapan itu tidak
penting kerana yang menariknya Dr. Mahathir memperlihatkan kekuatan serta
pengaruh luar biasa berdepan dengan pencabar yang bukan sembarangan.
Kemenangan Dr. Mahathir itu membawa
kepada satu lagi tragedi duka kepada UMNO apabila disaman oleh "Kumpulan
11" yang akhirnya UMNO diharamkan pada tahun 1988.
Selepas pertandingan Dr. Mahathir
dengan Tengku Razaleigh, di atas nama kesepakatan dan keutuhan UMNO, jawatan
Presiden tidak dicabar sehingga pemilihan pada 2018 apabila tiada penyandang
untuk mempertahankan jawatan. Pemilihan itu dianggap pemilihan terbuka untuk
jawatan Presiden apabila Datuk Seri Najib Razak tidak lagi mempertahankan
jawatan tersebut setelah BN mengalami kekalahan teruk dalam PRU ke 14 sehingga
BN hilang kuasa memerintah Malaysia.
Pemilihan pada 2018 yang dimenangi
Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden yang ditentang oleh Khairy Jamaluddin,
Tengku Razaleigh Hamzah dan dua orang lagi calon yang tidak dikenali di
kalangan ahli UMNO iaitu Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa@Jamaluddin.
Jawatan kedua tertinggi yang tidak
banyak dicabar ialah Timbalan Presiden UMNO. Hanya beberapa kali saja
penyandang jawatan ini dicabar misalnya pada Perhimpunan Agung UMNO ke-32 tahun
1981, Timbalan Presiden UMNO, Musa Hitam dicabar oleh Tengku Razaleigh yang
berakhir dengan kemenangan kepada Musa Hitam.
Tahun 1984 sekali lagi Tengku
Razaleigh mencuba nasib mencabar Musa bersama seorang lagi pencabar yang tidak
kurang hebatnya, Datuk Harun Idris. Sekali lagi Musa mencapai kemenangan.
Bagaimana pun dalam pergolakan UMNO
tahun 1987 dan berpecahnya 2M (Mahathir dan Musa) dengan perletakan jawatan
Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba menewaskan Musa yang
mencabarnya untuk jawatan Timbalan Presiden.
Pemilihan tahun 2018 menyaksikan
jawatan Timbalan Presiden pertemuan antara Datuk Seri Mohamad Hassan
mengalahkan Tan Sri Anuar Musa.
No comments:
Post a Comment