Dilahirkan dalam keluarga miskin bukan
bermakna akan hidup dan mati dalam kemiskinan juga, selain mewariskan
kemiskinan itu pula kepada anak dan generasi seterusnya. Sebenarnya, kemiskinan
bukan diwarisi, tetapi akan berubah seiring dengan kegigihan kita melakukan
usaha untuk melepaskan belenggu kemiskinan yang mana kita dilahirkan.
Banyak orang kaya dan ternama
sebenarnya dilahirkan dalam keluarga miskin. Mereka terpaksa melalui kehidupan
yang sukar bersama ibu bapa dan keluarga. Menempuh hari-hari suram yang penuh
berliku. Namun, mereka percaya ada cahaya di hujung terowong yang mengajar
mereka untuk terus berusaha.
Ambil contoh Jack Ma, antara manusia
terkaya di dunia yang dilahirkan dalam keluarga miskin. Semasa kecil terpaksa
berdepan dengan cabaran hidup yang tidak menentu. Biarpun berusaha gigih, dia
selalu gagal dan lantaran itu selalu dihina. Namun dia tidak pernah berputus
asa. Jack Ma tidak pernah peduli tentang penghinaan yang diterima. Semakin
dihina, semakin kuat semangatnya untuk membuktikan kebolehannya.
Jika kita dilahirkan miskin..itu bukan
salah kita. Tetapi, jika kita mati dalam kemiskinan dan kehinaan memang jelas
itu salah kita. Kita perlu berusaha untuk berubah. Mungkin, apa yang terpaksa
dilakukan lebih sukar berbanding orang dari keluarga kaya yang sudah memiliki
segala-galanya untuk membantu dia berjaya.
Sepatutnya, kesukaran dan cabaran
itulah yang memberi motivasi untuk lebih cekal dan tabah. Jangan jadikan
halangan sebagai sebab kita berhenti daripada meneruskan perjuangan. Halangan
perlu dijadikan sebab mengapa kita menjadi lebih hebat kerana setiap halangan
itu melatih kita melakukan sesuatu yang lebih baik untuk mengatasinya.
Dengan kata lain, kemiskinan keluarga tidak
sepatutnya dijadikan sebagai alasan seseorang pelajar tidak meneruskan
persekolahan atau gagal dalam dalam pelajaran. Berjaya atau gagal seseorang
pelajar bergantung kepada usaha yang dilakukan, bukannya berdasarkan kekayaan
keluarga.
Untuk berjaya dalam pelajaran, setiap pelajar
mesti mengutamakan hal berkaitan belajar berbanding perkara lain dalam aktiviti
kehidupan seharian. Jangan fikir tentang ingin berseronok atau melakukan
perbuatan yang merugikan seperti lepak, berhibur, ponteng sekolah dan merokok.
Tugas belajar adalah tugas hakiki yang perlu
dilaksanakan oleh setiap pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam
setiap peperiksaan yang diduduki. Minat dalam hal-hal lain boleh dilakukan
lepas alam persekolahan nanti.
Peluang menuntut ilmu tidak sepatutnya
dipersia-siakan yang hanya diperoleh ketika berada di alam persekolahan yang
mana kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan adalah bukti kerajaan
ingin melahirkan generasi yang berilmu, bermoral dan mempunyai jati diri.
Peluang pendidikan seperti yang disediakan
kerajaan kita ada antara yang terbaik di dunia. Ia disediakan percuma dan dalam
suasana kemudahan yang mencukupi untuk pelajar selesa menuntut ilmu.
Di negara lain, banyak kanak-kanak yang tidak
mendapat peluang pendidikan yang sempurna disebabkan kemiskinan memaksa mereka
sekadar belajar mengenal huruf, malah ada yang tidak berpeluang mendapat
pendidikan formal langsung.
Kerajaan memberi peluang pendidikan kepada
semua golongan, termasuk pelajar miskin. Selain pendidikan percuma yang
disediakan, kerajaan mengeluarkan peruntukan biasiswa.
Jadi, kemiskinan bukan alasan menyekat
peluang belajar. Pelajar dari keluarga miskin juga mampu berjaya. Kejayaan
dalam pelajaran itu nanti akan membuka peluang mendapat pekerjaan yang baik.
Keadaan ini sekaligus akan mengubah nasib keluarga yang mana kemiskinan bukan
satu warisan.
Bantuan yang diterima dari kerajaan maupun
pihak-pihak lain mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan tahap
pencapaian masing-masing. Wang bantuan yang diterima hendaklah digunakan untuk
membeli buku rujukan dan peralatan persekolahan.
Terdapat pelajar dan ibu bapa yang menerima
bantuan untuk pendidikan digunakan untuk tujuan lain. Akibatnya, matlamat
kerajaan memperuntukkan bantuan itu tidak mencapai matlamat untuk tujuan
meningkatkan prestasi pelajaran anak.
Ibu bapa tidak sepatutnya lepas tangan untuk
menyediakan kemudahan pembelajaran kepada anak biarpun kerajaan banyak
mengeluarkan peruntukan bantuan. Pendidikan anak perlu diutamakan sepanjang
masa.
Sikap perihatin ibu bapa akan memberi
ransangan kepada anak untuk belajar lebih rajin dan mencapai keputusan peperiksaan
yang cemerlang. Kejayaan anak banyak bergantung kepada sokongan dan perhatian
yang diberikan oleh ibu bapa.
No comments:
Post a Comment