Thursday, 20 September 2018

GEMAS BANDAR KERETA API

Gemas merupakan sebuah bandar kecil di Negeri Sembilan, yang berhampiran dengan sempadan Negeri Sembilan-Johor. Nama Gemas cukup sinonim dengan kereta api. Ramai orang mengenali Gemas kerana ada kaitan dengan kereta api. Biarpun bandar-bandar lain juga ada stesen keretapi, nama Gemas lebih terkenal dan menjadi sebutan.

Stesen kereta api Gemas dibina pada tahun 1922 dan sejak itu ste­sen itu menjadi ‘nadi’ yang meng­hubungkan penduduk kawasan pedalaman Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Pahang dan Kelantan.

Stesen kereta api Gemas menjadi popular berkaitan dengan kereta api kerana di stesen itulah ada persimpangan landasan yang memisahkan perjalanan dari selatan sama ada ke utara tanah air atau ke pantai timur. 

Sebelum Keretapi Tanah Melayu (KTM) mengadakan tran ekspres terus dari Tumpat ke Johor Bharu dan Tumpat ke Kuala Lumpur secara berasingan, tran ekspres dari Tumpat ke kedua-dua destinasi itu asalnya satu. 

Apabila sampai di Gemas, barulah gerabak dipisahkan sama ada meneruskan perjalanan ke Johor Bharu atau ke Kuala Lumpur. Penumpang selalu diingatkan agar berada di gerabak yang betul agar tidak tersilap destinasi perjalanan.  Namun, ramai juga penumpang yang bernasib malang.   

Pertukaran itu mengambil masa menunggu sambungan daripada perjalanan tran lain. Kadangkala masa menunggu di stesan Gemas mengambil masa beberapa jam lamanya.

Di stesen Gemas juga keadaan kereta api diperiksa sebelum meneruskan perjalanan. Terdapat depoh pemeriksaan dan penyeleggaraan keretapi. Di stesen Gemas juga terdapat tempat khas untuk 'pusing' kepala kereta api.  

Sebab itu stesen kereta api Gemas menjadi terkenal dan mencatat kenangan kepada ramai penumpang. 

Sebenarnya, pembangunan awal Gemas sendiri banyak disokong kerana adanya landasan dan stesen kereta api yang menghubungkan dengan bandar-bandar lain. Penduduk Gemas boleh menggunakan perkhidmatan kereta api sama ada ingin ke bandar-bandar di pantai timur, selatan, maupun utara.

Biarpun telah terdapat banyak jaringan jalan raya yang menghubungkan Gemas ke bandar-bandar lain, perkhidmatan kereta api masih lagi mendapat sambutan.

Selari dengan pembangunan pesat perkhidmatan rel, stesen kereta api lama  telah dipindahkan operasinya pada tahun 2013 ke sebuah stesen kereta api baru tidak jauh dari situ. Pembinaan stesen baru tepaksa dibuat memandangkan stesen lama tidak lagi sesuai terutama apabila adanya laluan berkembar dan penggunaan ETS, serta pertambahan penumpang yang memerlukan setesen yang lebih luas dan selesa. 

No comments:

Post a Comment