Mukul padi. Pada
masa dahulu, kerja menuai padi dilakukan dengan dua cara. Pertamanya dinamakan
cara mengetam. Mengetam dilakukan dengan memotong tangkai padi menggunakan
ketam.
Kerja ini biasa dilakukan oleh wanita. Padi yang dituai cara ini bertujuan untuk disimpan lebih lama, terutama untuk dijadikan benih pada musim penanaman musim hadapan.
Satu
lagi cara ialah memotong batang pokok padi di bahagian bawah dan kemudian
proses atau kerja memukul padi atau mukul padi dilakukan untuk meleraikan padi daripada
tangkalnya. Ia juga dipanggil kerja membanting padi.
Kerja
memukul memang memerlukan banyak tenaga. Sebab itu, kerja ini biasanya
dilakukan oleh lelaki. Jika wanita turut serta, mereka biasanya lebih
menumpukan kepada kerja menyabit atau mengerat pokok padi.
Dalam
proses memukul, sebuah tong padi yang dilengkapi dengan sehelai layar yang
diperbuat daripada tikar atau kain guni dan sebuah tangga kecil di dalamnya
berserta dengan kayu (buluh) yang mencekangkan layar yang dikenali sebagai
"turus layar" akan digunakan.
Kedap-kedap
atau ikatan batang padi akan dipukul ke dalam tong padi dan buah padi akan
terlerai masuk dan terhimpun di dalam tong tersebut. Layar digunakan untuk
mengelak buah padi yang terlerai itu 'melompat' keluar dari tong ketika proses
memukul.
Ukuran
ikatan batang padi berdasarkan kepada keselesaan atau kemampuan pemukul. Kalau
yang lagi besar, lebih cepat selesai kerja memukul, tetapi memerlukan banyak
tenaga untuk mengangkat ikatan batang padi melepasi paras kepala sebelum
dihempas atau dipukul di atas tangga di dalam tong padi.
Ikatan
batang padi biasanya menggunakan kain atau tali yang tidak licin dan berukuran
lebar. Batang padi sebenarnya bukan diikat simpulan mati, sebaliknya sekadar
dijerut agar kemas dan tidak terurai semasa proses memukul.
Pokok
padi yang telah semua buah padi terlerai atau terpisah dari tangkainya
dinamakan jerami.
No comments:
Post a Comment