Monday, 5 November 2018

KENAPA PEMINJAM PTPTN LIAT BAYAR HUTANG


Polimik mengenai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang liat membayar balik pinjaman semakin kusut. Persoalannya, mengapa peminjam PTPTN buat tidak peduli soal hutang yang perlu mereka lunaskan itu?

Ramai berpendapat antara punca berlaku situasi ini ialah kerana sikap yang telah ditanam dalam diri mereka. Pembangkang pada era pemerintahan Barisan Nasional telah menanam fahaman dalam minda kebanyakan mahasiswa bahawa mereka sepatutnya mendapat pendidikan percuma. Manakala pinjaman PTPTN sepatutnya dalam bentuk biasiswa yang tidak perlu dibayar balik.

Malah, janji pembangkang pada era pemerintahan Barisan Nasional, jika mereka memerintah Malaysia, pinjaman PTPTN tidak perlu dijelaskan lagi. Ia akan dianggap langsai telah dibayar. Manakala, mahasiswa baru pula akan mendapat biasiswa sebagai merealisasikan janji pendidikan percuma.

Segala janji pembangkang pada era pemerintahan Barisan Nasional kini ditagih peminjam apabila mereka kini telah bergelar pemerintah. Malang sekali pembangkang pada era pemerintahan Barisan Nasional tidak menunaikan janji.

Peminjam PTPTN tetap kena bayar pinjaman. Malah sikap peminjam yang liat membayar diselar dan digelar dengan pelbagai panggilan.

Kalau pada era pemerintahan Barisan Nasional, peminjam yang gagal membuat bayaran bulanan akan disenaraikan ditegah ke luar negara, kini di era kerajaan Pakatan Harapan, mereka bakal diheret ke mahkamah.

Sikap kerajaan yang tidak tetap pendirian dalam soal hutang PTPTN memang mendukacitakan peminjam PTPTN. Kalau sebelum menjadi kerajaan, berjanji akan menghapuskan pinjaman, selepas menang telah bertukar menjadi hanya yang berpendapatan lebih RM4000 sebulan sahaja perlu membuat bayaran bulanan. Kini, yang terbaru melalui Bajet 2019, potongan wajib akan dibuat terhadap peminjam yang berpendapatan RM1000 sebulan.

Kenyataan pemimpin kerajaan bahawa sikap peminjam tidak bertanggungjawab tidak ingin membayar hutang dan mementingkan diri perlu dirasionalkan. Sikap ini lahir dari didikan dan janji pemimpin kerajaan semasa menjadi pembangkang.

Memang betul, hutang perlu dan wajib dibayar. Tetapi, peminjam juga menuntut janji agar ditunaikan. Janji wajib ditunaikan.

Kalau kerja menabur janji mengambil masa bertahun-tahun sehingga apa yang dijanjikan telah sebati dalam diri peminjam dan ibu bapa, rasanya untuk memujuk mereka membayar hutang juga memerlukan masa beberapa tahun.

Cara paling sesuai untuk memujuk peminjam ialah memohon maaf kepada mereka dan mengaku kesilapan membuat janji palsu. Tidak akan hilang bisa ular menyusul akar.

Sebaliknya, sekarang ini pemimpin tunjuk kuasa menyalahkan peminjam. Sudahlah tidak tunaikan janji, sekarang ini asyik salahkan peminjam PTPTN. 

2 comments:

  1. Kalau nak peminjam jelaskan ptptn.. berilah gaji yg setimpal dengan kelulusan. Ade degree tp pjawatn dip.. ade dip tp gaji spm... pastu dihina lg sbb x byr balik.. nk teruskan hidup pn trcungap2...

    ReplyDelete
  2. Kalau nak peminjam jelaskan ptptn.. berilah gaji yg setimpal dengan kelulusan. Ade degree tp pjawatn dip.. ade dip tp gaji spm... pastu dihina lg sbb x byr balik.. nk teruskan hidup pn trcungap2...

    ReplyDelete