Wednesday 5 December 2018

KEBAIKAN BERKHATAN DIAKUI BUKAN ISLAM

Kesedaran mengenai berkhatan sudah berkembang dalam kalangan bukan Islam yang melakukan khatan secara sukarela kerana faedah kesihatan yang banyak. Berkhatan adalah memotong kulit di hujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin).

Lelaki di kalangan kaum Cina dan Siam di Kelantan semakin ramai yang bersunat atau berkhatan. Mereka turut sama dalam majlis khatan yang diadakan secara beramai-ramai dengan kanak-kanak lelaki Islam. Mereka telah melakukan tradisi ini sejak turun temurun.

Bagi, masyarakat Cina Peranakan Kelantan di Kampung Pasir Parit telah menjadikan amalan berkhatan sebagai tradisi turun-temurun bermula daripada nenek moyang mereka yang menetap di Pasir Mas puluhan tahun yang lalu.

Daripada sudut sejarah, sesetengah ulama berpendapat bahawa berkhatan bermula dengan Nabi Adam dan ada juga yang berpendapat manusia pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim.

Yang pasti, berkhatan telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu kerana wujud ukiran pada piramid di Mesir berkaitan berkhatan.

Berkhatan ialah amalan yang disyariatkan dan amat dituntut dalam Islam dan ia menjadi amalan para nabi.

Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib, bagi lelaki dan juga perempuan manakala bagi Mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya sunat bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Dalam Mazhab Hambali pula, Imam Ahmad berpandangan ia hanya wajib bagi lelaki dan sunat ke atas perempuan.

Wajib bermaksud jika dilakukan mendapat pahala dan sekiranya tidak dilakukan, mendapat dosa. Sunat pula bermaksud bila dilakukan mendapat pahala tetapi tidaklah berdosa sekiranya ditinggalkan.  

Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi lagi. Bagi masyarakat Melayu pula, ia biasanya dilakukan sewaktu kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun. Namun, sekarang ini amalan berkhatan semasa bayi sudah menjadi amalan biarpun belum ramai ibu bapa melakukan untuk anak lelaki mereka.

Kebanyakan ulama berpendapat khatan wajar dilakukan ketika budak lelaki meningkat umur baligh agar mereka bersih daripada najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.

Daripada segi kesihatan, berkhatan dapat menjamin kebersihan dan kesucian. Apabila tidak berkhatan, kotoran akan terkumpul di antara kulup dan kepala zakar.

Kotoran yang dipanggil ‘smegma’ ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Kajian sains yang telah dijalankan membuktikan amalan berkhatan mempunyai banyak faedah untuk kesihatan.

Antaranya, kadar kanser prostat didapati jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi. Ia juga mampu mengurangkan risiko kanser serviks (pangkal rahim) kepada wanita.

Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara pencetus kanser serviks. Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan. Kajian terbaharu juga menunjukkan kadar penyakit kelamin, khususnya sifilis, adalah rendah dalam kalangan lelaki yang berkhatan.

Berdasarkan kajian Cochrane Meta Analysis di Afrika pada 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan galakan amalan berkhatan sebagai salah satu cara atau program mencegah HIV. Hasil kajian tersebut menunjukkan berkhatan boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan lelaki yang aktif secara seksual dari 38 hingga 66 peratus dalam tempoh 24 bulan.

Kajian lain membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai risiko jangkitan kuman pada salur kencing 10 kali lebih rendah berbanding bayi yang tidak berkhatan. Jangkitan kuman salur kencing adalah serius. Tanpa rawatan segera, ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Kesimpulannya, berkhatan amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi lagi. Bagi masyarakat Melayu pula, biasanya berkhatan dilakukan sewaktu kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah menceritakan: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua." (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim).

Kebanyakan ulama berpendapat, khatan wajar dilakukan ketika budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada ulama berpendapat, lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.

Seorang ulama terkenal, Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat berbeza yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan waktu khatan dilewatkan hingga anak itu boleh diajarkan solat iaitu sekitar umur tujuh hingga 10 tahun.

Beliau menghukumkan makruh dilakukan khatan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan pada hari ketujuh kelahirannya kerana ia menyerupai amalan kaum Yahudi.

Ibnu Juzaiy juga berpendapat adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khatan wanita.

No comments:

Post a Comment