Sunday, 3 February 2019

MOHON MAAF KERANA PERCAYA FITNAH

Membaca tajuk berita 'Ustaz Ahmad Husam memohon maaf kepada Najib' menjadi ramai orang memahami bahawa memohon maaf itu perlu setelah menyedari kesilapan. Kita tidak lepas daripada melakukan kesalahan, jika telah sedar, elok cepat-cepat minta maaf.

Apa lagi jika kesalahan itu dalam bentuk fitnah. Sesungguhnya dosa membuat fitnah itu amat besar. Tidak kisahlah kita sebagai pencipta fitnah, mahupun menyebarkan kembali fitnah itu. Jika kesalahan itu tidak dimaafkan oleh orang yang difitnahkan itu, maka Allah tidak akan menghapuskan atau mengampunkan dosa fitnah itu.

Dan, jikapun apa yang diperkatakan berkaitan seseorang itu adalah benar, maka ia termasuk dalam kategori mengumpat. Dosa mengumpat diumpamakan api memakan daun dan ranting. Amat mudah terbakar dan menjadi abu yang merugikan pelakunya.

Maka itu, sesiapa yang menyedari kesalahan telah dilakukan terhadap seseorang sama ada membuat fitnah mahupun mengumpat, yang kedua-dua dosanya tidak akan diampunkan Allah, cepat-cepat memohon maaf kepada orang berkenaan.

Sekalung tahniah kepada Ustaz Ahmad Husam yang tidak 'malu' untuk mengaku kesalahan yang telah dilakukan. Semoga apa yang dilakukan itu akan diikuti oleh orang lain.

Memohon maaf yang dimaksudkan bukan hanya kepada Najib, tetapi kepada sesiapa sahaja yang telah kita fitnah dan umpat.

Elok kita baca apa yang telah disiarkan di UTUSAN ONLINE.  

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Husam Baderudin hari ini memohon maaf secara peribadi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terlalu percaya terhadap fitnah yang dilemparkan kepada beliau sebelum ini.

Ahmad Husam dalam permohonan maaf yang dilakukan secara langsung dalam akaun Facebook milik beliau itu turut membawa hasrat masyarakat yang beliau temui mahu memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

“Datuk seri saya minta maaf apa yang saya percaya dahulu dan mungkin ada lagi seingat saya pernah berucap di hadapan awam mungkin sedikit sebanyak mencalarkan imej datuk seri  pada waktu itu.

“Mungkin saya tak dapat nak sebut satu persatu datuk seri, sebab banyak, ada yang jumpa saya di ceramah, ada yang menangis minta saya sampaikan permohonan maaf mereka kepada datuk seri,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Husam dalam laman sosial pernah mengeluarkan kenyataan mengkritik polisi kerajaan terdahulu dan pernah menggesa rakyat untuk menukar pemimpin baharu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Najib dalam reaksinya terhadap permohonan maaf itu berkata, beliau menerima kemaafan yang dipinta oleh Ahmad Husam termasuk seluruh rakyat Malaysia.

“Saya ucap terima kasih kepada ustaz kerana begitu ikhlas dan Allah telah membuka hati ustaz berjumpa dengan saya.

“Saya dengan senang hati dan hati terbuka menerima kemaafan ustaz kerana saya faham kita manusia biasa terdedah kepada macam-macam fitnah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment