Monday, 18 February 2019

ADIL DALAM POLIGAMI TIDAK BERMAKSUD SAMA RATA

Suami berpoligami perlu bersikap jujur menunaikan hak setiap isterinya mengikut kemampuan. Penentuan kemampuan suami berlaku adil terletak pada diri suami sendiri. Suami akan bertanggungjawab di hadapan Allah di atas sifat amanah dan tanggungjawabnya.

Bersikap adil bukan bermakna membahagikan semua perkara sama rata. Mungkin ada di antara isteri perlu diberi perhatian lebih kerana hal tertentu. Contohnya, isteri yang sedang sakit perlu diberi perhatian yang lebih. Tetapi, tidak pula sehingga mengabaikan isteri lain. Suami perlu pandai menilai keperluan setiap isteri untuk memastikan keadilan.

Suami berpoligami perlu tegas dalam hal memenuhi hak antara isteri-isteri. Jangan beri peluang mana-mana isteri lebih monopoli. Hak yang sama rata ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.  Suami perlu bijak menilai apa yang diperlukan oleh setiap isteri.

Justeru, suami bercadang berpoligami perlu menimbangkan semasak-masaknya keupayaan menjalankan tugas. Lelaki perlu menyoal diri sendiri dengan jujur dan menjawabnya dengan fikiran rasional tanpa dipengaruhi nafsu. Bagi lelaki, tidak semua yang berkahwin lebih daripada seorang memberi kebahagiaan. 

Islam mengharuskan berpoligami bertujuan kebaikan dan bukan semata-mata kerana nafsu yang tiada kesudahannya. Oleh itu poligami ditegah jika dirasakan akan mendatangkan keburukan, terutama berlaku zalim terhadap isteri.

Cadangan agar isteri yang tidak sanggup dimadukan diberi hak membuat pilihan untuk mendapat perceraian melalui taklik, merupakan hak yang boleh dipilih sendiri oleh wanita. Jika dipersetujui bakal suami atau suami, taklik boleh dilafazkan. 

Sebaliknya, jika lelaki tidak mahu melafazkan taklid tersebut sebagai satu syarat persetujuan perkahwinan dari pihak wanita, perkahwinan tidak perlu diteruskan. Bahkan, sebelum perkahwinan wanita diberi pilihan sama ada ingin berkahwin atau tidak dan siapa pilihan calon suaminya. 

Tiada kezaliman terhadap wanita dalam institusi rumahtangga Islam. Apa yang dibenarkan oleh agama mempunyai kebaikan di sebaliknya. Perlu diingatkan, madu bagi seorang wanita adalah wanita. 

Oleh itu wanita perlu lebih memahami keperluan wanita sendiri.Tidak elok wanita bergaduh sesama sendiri hanya kerana merebut lelaki. Baik berkongsi daripada terlepas langsung.

No comments:

Post a Comment