Apa hukum berkaitan dengan hukum berpuasa pada
dua minggu akhir dalam bulan Syaban.
Maksud hadis: Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW: “Apabila tiba pertengahan bulan
Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”.
Dalam maksud lain: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaban, maka tidak ada puasa sehingga
datangnya bulan Ramadan”.
Dalam maksud yang lain pula: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaban, makanlah sehingga datangnya
bulan Ramadhan”.
Dalam maksud yang lain lagi: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaban, maka tahanlah diri kalian dari
berpuasa sehingga datang bulan Ramahan”.
Takhrij al-Hadis
Hadis ini disebut oleh Imam Ahmad (2/442), Abu Daud (2337),
al-Nasaie (2923), al-Tirmizi (738), Ibn Majah (1651), al-Darimiy (1691) dan
ramai lagi. Walaupun lafaznya berbeza tetapi maknanya adalah sama.
Hukum Hadis
Hadis ini menjadi perselisihan antara para ulama dalam
menyatakan hukum terhadap hadis ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadis ini
dan sebahagian yang lain mengdaifkannya.
Pendapat Pertama: Antara ulama yang mengsahihkan
hadis ini:
- Imam al-Tirmizi : Hadis adalah
hasan sahih. [Lihat:
Jami’ al-Tirmizi, no. Hadis 669].
- Imam Ibn Hibban : Hadis ini sahih. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, no.
Hadis 3589].
- Imam Ibn Abd al-Bar: Hadis ini
sahih. [Lihat: al-Istizkar, 10/239]
- Ahmad Syakir : Hadis ini adalah
sahih. [Lihat: Ta’liq ‘ala Tahzib al-Sunan,
3/225]
Pendapat Kedua: Antara ulama yang mengdaifkan
hadis ini:
- Imam Ahmad : Hadis ini munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
- Al-Athram : Hukum hadis ini adalah
munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
- Abdulrahman bin Mahdi : Hadis ini
munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
- Abu Zur’ah : Ini adalah hadis munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
Tarjih
Berdasarkan pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadis ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadis ini adalah daif walaupun ia juga disahihkan oleh sebahagian para ulama.
Berdasarkan pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadis ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadis ini adalah daif walaupun ia juga disahihkan oleh sebahagian para ulama.
Antara sebab yang menyebabkan
kami menyatakan bahawa hadis ini adalah daif adalah disebabkan beberapa
faktor, antaranya adalah:
Pertama: Disebabkan al-‘Ala’ bersendiri
dalam riwayat ini. Oleh sebab itu, hadis ini adalah gharib berdasarkan
pendapat Imam al-Nasaie iaitu “kami tidak ketahui perawi yang meriwayatkan
hadis ini melainkan daripada al-‘Ala bin Abdulrahman”. Selain itu, melalui
pendapat Imam al-Tirmizi bahawa “kami tidak ketahui melainkan daripada jalan
ini”.
Kedua: Hadis ini bercanggah dengan hadis yang sahih iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW
bersabda bermaksud : “Janganlah mendahulukan Ramadan
dengan sehari berpuasa atau dua hari”. [Riwayat Muslim, no. Hadis 1812]
Walaubagaimanapun, kami juga berpendapat bahawa kepada
sesiapa yang ingin berpuasa selepas pertengahan bulan Syaban dibolehkan bagi
orang yang selalu melakukan puasa seperti puasa sunat Isnin dan Khamis. Begitu
juga, bagi sesiapa yang berpuasa pada hari cerah dan juga yang melakukan puasa
Nabi Daud AS. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ dalam masalah ini.
Makna, larangan berpuasa di dalam hadis tersebut adalah ditujukan
kepada sesiapa yang bukan menjadi kebiasaannya berpuasa. Adapun bagi sesiapa
yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa maka ia tidak menjadi masalah untuk
dia berpuasa pada waktu tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 4/215]
Pendapat ulama dalam masalah
berpuasa pertengahan bulan Syaban
Berikut adalah pendapat para ulama dalam masalah ini:
- Mazhab al-Syafie: Berpuasa selepas
pertengahan bulan Syaban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak
biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya. Dalam makna
lain bagi orang yang berpuasa pada waktu tersebut sahaja. [Lihat: al-Mu’tamad, 2/216]
- Jumhur fuqaha’ : Dibolehkan berpuasa
selepas daripada 15 Syaban. [Lihat: Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1635]
Hikmah tidak dibenarkan berpuasa
Tambahan pula, jika kita melihat dan berpegang bahawa hadith
ini sahih sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama’ maka di sana
terdapat hikmah mengapa tidak dibenarkan berpuasa pada waktu tersebut. Antara
hikmahnya ialah supaya umat Islam menyiapkan diri mereka sebelum dalam menempuh
bulan Ramadan. Di mana pada bulan tersebut difardhukan bagi setiap orang Islam
yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut.
Penutup
Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa puasa selepas
daripada 15 Syaban adalah dibenarkan kerana hadis yang melarang untuk
berpuasa adalah lemah dan bercanggah dengan hadis yang sahih.
Lebih-lebih lagi
jika seorang wanita itu ingin menggantikan puasa Ramadannya, maka ia dituntut. Ini kerana, Saidatina Aisyah menggantikan puasa Ramadannya pada
bulan Syaban.
Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan masa lapang
agar kita dapat melaksanakan ibadat dengan sesempurna mungkin. Amin.

No comments:
Post a Comment