Thursday 2 May 2019

KAWASAN REKREASI SUNGAI YU ECO VIADUCT

Pengguna yang melalui Central Spine Road (CSR) dari Kuala Lipis ke Merapoh pasti akan melalui satu kawasan rekreasi yang dikenali Sungai Yu dan Eco Viaduct. Lokasi kawasan itu terletak kira-kira 57 kilometer dari Kuala Lipis dan hanya kira-kira 20 kilometer dari Merapoh.

Sungai Yu merupakan kawasan yang menarik kerana mempunyai kawasan rekreasi dan sungai yang airnya sejuk dan jernih. Ia menjadi pilihan kepada pengguna CSR yang ingin melepas lelah perjalanan yang jauh.

Selain itu, kawasan rekreasi menjadi pilihan penduduk kawasan sekitar, termasuk dari Kuala Lipis dan Gua Musang. Sebelum pembinaan CSR, kedudukan kawasan rekreasi ini betul-betul terletak di tepi jalan utama.

Namun, selepas pembinaan CSR, ia sedikit terlindung dari pandangan pengguna jalan raya. Bagaimanapun, pengunjung yang pertama kali datang ke situ tidak berdepan kesukaran kerana terdapat papan tanda yang jelas.

Pembinaan CSR melalui kawasan Sungai Yu direka khusus untuk memberi laluan selamat kepada hidupan liar di kawasan tersebut bergerak.

Laluan di kawasan tersebut dibuat dalam bentuk jambatan sepanjang kira-kira 927 meter. Jadi, hidupan liar boleh melalui di bawah jambatan itu dengan selamat.

Projek atau rekabentuk jalan untuk memberi laluan melintas selamat untuk hidupan liar di kawasan Sungai Yu adalah yang pertama di Malaysia.

Projek itu dikenali sebagai Eco Viaduct dibina bagi mengurangkan ancaman terhadap habitat asal bagi hidupan liar dan dapat mengurangkan risiko haiwan liar mati dilanggar oleh kenderaan. Selain itu, ia juga mengurangkan resiko untuk pemandu dan pengguna CSR. 

No comments:

Post a Comment