Sunday, 5 May 2019

INI SAHAJA MAMPU UNTUK DIDIMAKAN

Antara ungkapan dalam media sosial tentang menu makanan, tidak kira sarapan pagi, makan tengah hari mahupun hidangan makan malam ialah 'hanya ini mampu disediakan', makan ini aje' atau 'makanan biasa-biasa aje'.

Apabila dilihat gambar makanan dikongsikan itu boleh dikatakan mewah atau istimewa. Jadi, apakah maksud ' hanya ini mampu disediakan'? Apa pada masa lain, hidangan yang mampu disediakan itu lebih hebat dan lebih mewah?

Berkongsi gambar makanan di media sosial sudah menjadi fenomina dunia moden. Apa saja dimakan dan dilakukan akan dikongsi di media sosial. Konon ingin berkongsi dengan orang lain. 

Secara hukum fikah, perkara itu tidak salah berdasarkan kepada kaedah setiap perkara atau perbuatan adalah harus, melainkan telah ada hukum yang jelas mengatakan ia adalah haram.

Namun, perlu diingatkan, mengapa kita perlu berkongsi dengan semua orang apa yang kita lakukan? Hinggakan apa yang kita ingin makan pun dikongsikan dengan orang lain? Bukan gambar yang sepatutnya dikongsikan. 

Jika ingin berkongsi, gunakan harta untuk disedekahkan kepada orang lain. Buat atau beli makanan, kemudian diagih-agihkan kepada orang miskin atau sesiapa sahaja.

Kalau hanya dikongsikan gambar, rasanya tidak ada apa yang diperoleh. Simpan sajalah gambar makanan enak atau mewah yang anda makan. Ia bukan memberi kebaikan, bahkan mungkin juga menimbulkan perasaan sakit hati dan dengki orang yang melihatnya.

Lebih-lebih lagi kebanyakan caption atau tulisan bersama-sama gambar itu menjemput orang lain makan bersama. Pelawaan itu tidak ubah seperti perli dan mempermain-mainkan orang lain.

Sesungguhnya, dibimbangi perbuatan berkongsi gambar makan akan menyebabkan terjerumus dalam riak dalam perkara dunia.

Al-Abdari mengatakan, "Antara jenis riak ialah seseorang menunjuk-nunjuk kepada kepada ahli dunia tentang dunianya, seperti pakaiannya, kenderaannya, tempat tinggalnya, tempat duduknya, makanannya, minumannya...". (Al-Adab al-Syar'iyyah)

Begitu juga dibimbangi akan terjebak ke dalam sifat bermegah-megah dengan makanan. Sedangkan syarak melarang daripada bermegahan dengan makanan.

Diriwayatkan dalam satu hadis, "Bahawa Rasulullah SAW melarang makanan dua orang yang bermegah-megah (mutabaariyain) untuk dimakan". (Hadis riwayat Abu Daud).

Sebelum upload gambar makanan kat Facebook, tanya dulu hati adakah tujuannya untuk menunjuk-nunjuk, ataupun untuk bermegah-megah, atau tidak? 

Namun, jika dirasakan itu sekadar berkongsi dan mengeratkan hubungan sesama rakan, perbuatan itu tidak salah. Terpulang kepada anda.

No comments:

Post a Comment