Tuesday, 28 May 2019

AK 14 - DUA KEBIMBANGAN RAKYAT KELANTAN MUSIM PERAYAAN


Ada dua perkara rakyat Kelantan bimbing atau phobia setiap kali musim perayaan. Pertamanya, berkaitan isu kesesakan lalu lintas di bandar dan jalan-jalan utama di Kelantan. Kesesakan teruk terjadi apabila perantau yang pulang dengan kenderaan masing-masing.

Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Krai yang jauhnya kira-kira 70 kilometer mengambil masa perjalanan kira-kira sejam hingga sejam setengah pada hari biasa, bertambah menjadi kira-kira lima jam hingga tujuh jam ketika kesesakan teruk.

Keadaan kedua menjadi igauan buruk kepada penduduk Kelantan pada setiap musim perayaan ialah masalah gangguan bekalan air. Teori mudah mengapa keadaan ini berlaku ialah, kalau keadaan biasapun rakyat Kelantan telah berdepan dengan isu gangguan bekalan air, inikan pula ketika musim perayaan yang mana penggunaannya meningkat dengan banyaknya.

Memang perit dan derita terpaksa berdepan masalah bekalan air ketika musim perayaan. Anak cucu yang balik berhari raya merungut dan ada yang merajuk tidak mahu pulang berhari raya pada tahun akan datang. Malah, ada pasangan yang berkahwin dengan orang luar Kelantan terpaksa memilih berhari raya di rumah mertua di luar Kelantan.

Sudahlah bekalan air kurang, jika ada akan berdepan pula dengan masalah kualiti air yang teruk sama ada berkarat ataupun keruh. Keadaan ini terjadi kerana Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) terpaksa meningkatkan pengeluaran air yang sekaligus menganggu keadaan operasi biasa.

Kepada perantau yang pulang berhari raya di Kelantan, bersabarlah dengan dua keadaan masalah ini.

No comments:

Post a Comment