Thursday, 16 May 2019

KUIH PAPUDAK SELAK PINTU

Selera bulan Ramadan memang pelik. Macam-macam jenis makan timbul musim puasa yang biasa tidak dipeduli pada bulan-bulan lain. Bubur lambuk, tahi itik, jala mas, buah tanjung, lompat tikam, serabe, kerbau berguling dan macam-macam lagi.

Satu lagi kuih yang timbul musim Ramadan ialah kuih ‘selak pintu’ atau papudak, sejenis kuih tradisional masyarakat Banjar. Dalam bahasa Banjar kuih ini dipanggil ‘sunduk lawang’ atau dalam bahasa Melayu selak atau palang pintu berikutan bentuknya yang memanjang seperti kayu selak pintu rumah zaman dulu kala.

Kuih papudak antara juadah kuih manis yang jarang dijual berikutan pembuatannya yang rumit. Bahan kuih papudak itu hanya menggunakan adunan tepung gandum, santan, gula, air daun pandan dan sedikit garam. Mudah sahaja untuk membuatnya.  

Yang rumitnya proses membuat kelongsong daun pisang daripada menggulung, mengisi dan merebus yang memerlukan ketelitian. Saiz biasa kuih selak pintu kira-kira 15 sentimeter. Kelongsong daun pisang itu mesti boleh menampung adunan cair yang dituangkan ke dalamnya. Itu yang rumitnya.

Kuih papudak yang enak perlu lembut apabila siap direbus dan sedikit bergoyang ketika dibuka untuk dimakan. Hanya daun pisang nipah dan kapas sesuai dibuat kelongsong kuih papudak berikutan daun pisang yang lain membuatkan adunan kuih itu menjadi pahit apabila direbus.

Daun pisang juga perlu direbus atau dilayur sebentar sebelum dapat diisi ke dalam kelongsong kerana jika tidak daun pisang pecah ketika digulung.

No comments:

Post a Comment