Saturday, 1 June 2019

IDENTITI CINA PERANAKAN KELANTAN

Kaum Cina Kelantan dianggap unik dan berbeza berbanding kaum Cina yang tinggal di negeri lain. Cara hidup mereka dan hubungan dengan kaum Melayu serta kaum-kaum lain agak akrab.

Masyarakat Cina telah wujud di Kelantan sejak abad ke-17 Masihi lagi dan kebanyakan mereka tinggal di sepanjang pinggir-pinggir sungai di Kelantan seperti kawasan Pulai Gua Musang, Kampung Pasir Parit Pasir Mas, Kemasin Bachok dan Sungai Pinang Tumpat.

Walaupun tiada catatan sebenar sejarah kedatangan mereka ke Kelantan, namun mereka percaya kedatangan nenek moyang mereka lebih awal dari kedatangan orang Cina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ini berdasarkan penemuan patung lama di tokong tertua berusia 600 tahun atau lebih di kampung Pulai, Gua Musang dan berasal dari Dinasti Ming. Ini bermakna kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu bukan dimulakan di Melaka tetapi di Kelantan.

Manakala kajian yang dilakukan penyelidik dari UTM mendapati orang Cina tinggal di di Kampung Parit sejak kira-kira 1,400 tahun lampau, iaitu 100 tahun sebelum Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Shah.

Terdapat dua kategori Cina di Kelantan iaitu Cina Peranakan diberi gelaran Cina kampung, Cina Kelantan dan Oghe Cino Kito. Bagi Cina di bandar mereka dipanggil Cina bandar atau Cina Benua.

Cina Kampung tidak seperti kaum Cina di negeri-negeri lain kerana dialek komunikasi percakapan harian mereka dalam loghat Kelantan di samping bahasa Hokkien. Kebanyakan mereka berkulit sawo matang dan tidak menampakkan mereka sebenarnya kaum Cina kerana perkahwinan campur dengan keturunan Thai.

Kadang-kala adalah susah untuk membezakan mereka sama ada dari segi muka atau bahasa kerana gaya hidup mereka boleh dikatakan lebuh kurang sama dengan orang melayu. Contohnya dari segi berpakaian dan juga makanan.

Bagi masyarakat Cina Tionghua Kelantan pula tidak pernah rasa terpinggir walaupun di sekeliling mereka adalah orang-orang melayu beragama Islam.

Proses asimilasi kesenian dan kebudayaan tempatan mempengaruhi nama dan apa yang mereka suka. Orang kelantan lebih suka memanggil "mek" kepada wanita Cina Kelantan dan mereka membahasakan diri mereka ambo.

Mereka mampu membaca dan menulis tulisan jawi yang sesetengah anak Melayu kelantan sendiri gagal memahirkan diri. Bagi Cina Peranakan yang mendapat pendidikan dalam aliran Melayu mereka menggalakkan anak-anak mereka mampu membaca jawi.

Bagi generasi terdahulu Cina Peranakan mereka tidak kekok memakai kain pelikat, kain sarung, kebaya dan serban serta memakan sireh. Bahasa Kelantan mereka pekat dan lancar. Karakter dan perwatakan mereka ada kalanya kelihatan lebih Melayu daripada Melayu sendiri.

Mereka suka budu dan ulam-ulaman sebagai makanan hidangan. Mereka juga makan nasi kerabu, nasi berlauk dan nasi dagang. Mereka suka tapai ubi dan ketupat.

Dari segi hiburan, mereka suka dikir barat, makyung, menora dan wayang kulit. Keterlibatan mereka bukan sekadar pengikut, bahkan ada menjadi 'pemimpin' persembahan seperti jadi tukang karut dikir dan dalang wayang kulit.

Orang Cina di Kelantan telah diasimilasikan dari segi nama-nama yang digunakan seperti Gan Awang, Tan Awang Besar, Lau Cheng San atau Che Hassan, Che Midah, Mek Su dan nama-nama lain. Malah kalau berada di luar Kelantan, mereka lebih bangga dikenali sebagai Oghe Kelate.

Di kelantan, rata-rata kaum cina perempuan lebih selesa bersarung batik ketika berada di rumah. Namun terdapat juga golongan yang lebih berusia memakai sarung batik ketika menghadiri majlis-majlis keramaian.

Sekali pandang tiada banyak perbezaan dengan kaum Melayu kecuali baju yang berlengan pendek yang juga mempunyai identiti tersendiri. Pun begitu masih ada lagi golongan tua yang berkebaya pendek yang tentunya nampak manis sekali.

Berkemban dengan sarung batik selepas mandi bagi kaum wanita adalah pemandangan biasa bagi kami Cina Kampung. Bagi kaum lelaki berkain pelikat tanpa baju adalah 'pakaian rasmi' semasa berada di rumah.

'Semutar' ataupun kain lilit kepala merupakan eksesori yang biasa dipakai  oleh kaum lelaki semasa melakukan aktiviti harian seperti berkebun, menjaga lembu kambing dan sebagainya.

Dari segi cara makan dan makanan, orang Cina Kampung ini biasanya mengamalkan adat yang lebih kurang sama dengan orang Melayu di mana mereka tidak menggunakan sudu dan garpu semasa makan sebaliknya lebih suka terus menggunakan tangan ketika menjamu hidangan.

Kadang-kala terdapat juga keluarga yang akan bersela bersama keluarga di atas lantai dan makan seperti mana yang orang Melayu melakukan.

Kepercayaan masyarakat Melayu seperti melarang anak bermain di luar rumah pada waktu senja dengan mengadakan pelbagai mitos, antaranya hantu bagi menakutkan anak, turut menjadi amalan Cina Peranakan.

Mereka yakin kepercayaan itu bertujuan memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu berkenaan supaya semua anggota keluarga dapat makan malam bersama.

Ramai antara Cina Peranakan masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri.



Kredit pemilik gambar.

No comments:

Post a Comment