Saturday 29 June 2019

TOL JAMBATAN DIHAPUSKAN SELEPAS PILIHAN RAYA


Ada dua sejarah tol dihapuskan hasil janji pada PRU. Kedua-dua tol itu melibatkan jambatan.

Penghapusan tol yang pertama selepas PRU ialah tol di Jambatan Sultan Yahya Petra yang merentasi Sungai Kelantan. Kerajaan Pas Kelantan telah mengenakan atau memperkenalkan tol di Jambatan Sultan Yahya Petra pada tahun 1965.

Ini menjadikan ia laluan awam pertama di Malaysia yang dikenakan tol. Masa itu ia dipanggil cukai jambatan.

Pada awal pagi 9 Julai 1978, penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) telah memusnahkan rumah tol di atas jambatan tersebut setelah BN berjaya memenangi pilihan raya negeri.

Semenjak itu, kutikan tol telah dihentikan seiring dengan janji BN Kelantan dalam dalam pilihan raya itu.

Tol kedua yang dihapuskan hasil janji PRU ialah di Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu. Jambatan Sultan Mahmud dirasmikan pada 11 Mac 1990.

Kadar tol sebelum dimansuhkan ialah 50 sen sehala bagi kereta dan van, RM1 bagi lori dan bas sementara lori bergandar RM2. 

Pada PRU 1999, Pas mencanangkan jika menang dapat memerintah Terengganu, tol di Jambatan Sultan Mahmud akan dihapuskan.

Penghapusan tol itu menjadi kenyataan apabila Pas berjaya menawan Terengganu dari tampuk pemerintahan BN. Penghapusan tol dilakukan beberapa minggu selepas PRU.

Jika di Jambatan Sultan Yahya Petra, BN menghapuskan tol diperkenalkan Pas, di Jambatan Sultan Mahmud pula Pas menghapuskan tol dikenakan oleh BN. 
 
Kedua-dua jambatan tersebut menggunakan nama sultan dan menghubungkan ibu negeri ke kawasan lain.

No comments:

Post a Comment