Thursday 11 July 2019

PROJEK CSR JALAN RAYA UTAMA TENGAH

Projek Central Spine Road (CSR)  adalah projek "jalan utama tengah" yang kini juga digelarkan "Lebuh Raya Utama Tengah". Projek ini telah lama diilhamkan oleh para jurutera jalan di Malaysia untuk menghubungkan Kelantan dengan Negeri Sembilan melalui Pahang.

Ilham ini ini telah diketengahkan sekitar tahun 1990an lagi selari dengan pembukaan jalan menghubungkan Gua Musang dengan Kuala Lipis sekitar tahun 1986.

Namun, kekangan kewangan dan tiada keperluan mendesak, maka projek itu sekadar menjadi satu kerangka kepada perlaksanaan jangka panjang.

Pembinaan jalan raya secara berperingkat berdasarkan kepada kerangka utama itu dilaksanakan. Contohnya permbinaan jalan dari Kuala Lipis ke Raub adalah sebahagian daripada projek tersebut. Begitu juga jalan dari Raub menuju ke Bentong.

Asalnya jalan itu ingin dibina empat lorong, namun hanya dibina dua lorong disebabkan kengkangan kewangan, tetapi lebih lebar dan lurus berbanding jalan sebelumnya.

Pembinaan projek CSR lebih ketara dan dirasakan kewujudannya apabila kerajaan meluluskan pembinaan 'Lebuh raya Merapoh - Chegar Perah" dengan konsep empat lorong membelah hutan belantara. Laluan lebih lurus dan 'jauh' dari laluan asal.

Peruntukan pembinaan tersebut dilakukan pada era pemerintahan Tun Abdullah Badwi yang melihat ada keperluan terdesak memandangkan kawasan itu sering berlaku kemalangan maut.

Lebuh raya ini pula kemudian disambungkan dari Merapoh - Mentara dan bakal menuju ke Gua Musang.

Projek lain sebahagian CSR yang bakal siap ialah Persimpangan Bentong.

Biarpun projek CSR sekarang ini sekadar menyebut menghubungkan antara Kuala Krai di Kelantan dengan Simpang Pelangai di Pahang yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, ialah boleh dianggap sebagai projek menghubungkan Kota Bharu Kelantan dengan Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Ini kerana penghujung utara dan selatan projek CSR itu memberi sambungan rangkaian jalan raya yang terus kepada kedua-dua bandar tersebut.

Di Kelantan, Lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai dibina secara berperingkat-peringkat. Peringkat pertama dari Pasir Hor ke Kadok telah dibuka kepada lalu lintas. Menanti dalam masa terdekat untuk dibuka ialah pakej Kadok ke Ketereh. Pakej dari Ketereh ke Kok Lanas juga giat dijalankan.

Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai diluluskan pada era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak. Majlis pecah tanah projek telah dilaksanakan pada April 2014 oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Biarpun Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai tidak disebut sebagai projek CSR, hakikatnya ia adalah sebahagian kerangka utama jalan raya semasa ia diilhamkan dahulu.

No comments:

Post a Comment