Keberanian
adalah harga diri. Tanpa keberanian, hidup kita tiada berharga. Maka, kita
perlu sentiasa memupuk dan menjaga keberanian diri.
Pramoedya
Anan Toer pernah berkata, dalam hidup kita hanya satu yang kita punya iaitu
keberanian. Jika tidak punya itu, lantas apa harga hidup kita ini.
Pemimpin
terkenal Britain, Sir Winston Churchill pula pernah berkata bahawa keberanian
adalah kemampuan untuk berdiri dan menyuarakan pendapat bahkan keberanian juga
dituntut untuk duduk diam dan mendengar.
Keberanian
adalah satu nilai yang sangat berkait rapat dengan etika dan integriti
mana-mana insan atau organisasi.
Pun
perlu ditegaskan, keberanian yang difokuskan ialah keberanian moral bukan
keberanian fizikal.
Penulis,
Ambrose Redmoon melihat keberanian bukannya sebagai kehilangan rasa takut,
tetapi lebih kepada pertimbangan ke atas sesuatu yang lebih penting daripada
rasa takut.
Ketika
Mark Twain melihat keberanian sebagai halangan kepada rasa takut, Samuel
Johnson pula menganggapnya sebagai prinsip kehidupan teragung melainkan
sekiranya kita tidak mempunyai nilai ini, maka kita tidak akan berupaya
memelihara prinsip kehidupan yang lain.
Sekiranya
kelakuan buruk tidak ditangani, ia akan terus menjadi-jadi dan akan bertambah
buruk. Kita akan sukar untuk berhadapan dengan perkara sebegini sekiranya kita
membenarkan diri melupakan atau tidak menghiraukannya.
Oleh
itu, keberanian bukan saja harus dipraktikkan di medan perang, tetapi juga
dalam kehidupan dan kerjaya lazimnya. Seseorang itu mesti ada naluri menegakkan
keadilan moral apabila berurusan dan berhadapan dengan kelakuan tidak beretika.
Stephen
Covey pernah mengatakan, kesabaran itu ibu kepada kebijaksanaan, manakala
keberanian adalah bapa kepada kebijaksanaan kerana nilai ini wujud dalam
harmoni bersama nilai teras lain seperti amanah dan kejujuran.
Kini,
kita memasuki era globalisasi dan dunia hari ini sangat berbeza.
Kita
menghadapi pelbagai cabaran dan kerumitan baharu, bukan saja dalam kehidupan
peribadi bahkan juga dalam hubungan bersama keluarga, rakan dan komuniti
terutama di tempat kerja.
Kita
perlukan keberanian untuk membawa perubahan, membuat keputusan penting yang
perlu walaupun tidak popular, bersuara, berdiri berseorangan apabila berlaku
salah faham untuk mengatakan 'tidak' dan juga memohon maaf.
Keberanian
moral adalah sesuatu yang jarang dilihat dan berasal daripada pendirian kukuh
pada diri seseorang. Menegakkan prinsip kendiri memerlukan keberanian moral dan
etika terutama apabila berhadapan dengan kesusahan, bahaya, ataupun
ketidakpastian.
Sebagai
pemimpin di dalam organisasi tersendiri, kita wajib memainkan peranan yang
berkesan dalam memberi tunjuk ajar kepada pekerja bagaimana keberanian itu
boleh dipraktikkan.
Keberanian
hanya diterima sebagai nilai positif apabila ia digunakan untuk tujuan baik dan
mulia seperti mempertahankan maruah dan integriti negara, ataupun untuk tujuan
perkembangan dan pembangunan.
Keberanian
boleh menjadi sesuatu yang buruk sekiranya digunakan untuk tujuan peribadi yang
jahat seperti menipu, rasuah atau mengamalkan aktiviti tidak bermoral seperti
gangguan seksual, mencuri, membunuh, rogol dan sebagainya.
Kesimpulannya,
keberanian adalah teras kepada nilai murni dan rasional dan ia harus
dipraktikkan hanya dengan keperibadian positif dan kesedaran diri yang betul.
Oleh itu, sebagai pemimpin organisasi, kita harus menggunakan keberanian
sebagai nilai untuk memperteguh dan mengangkat integriti perkhidmatan awam dan
negara.
No comments:
Post a Comment