Wednesday, 4 January 2023

DEFINISI PERKATAAN ‘DENGAN’

  
Kata ‘dengan  boleh digunakan sebagai kata hubung dan kata sendi nama. Walau bagaimanapun, penggunaannya bergantung pada konteks ayat. 
 
Definisi kata ‘dengan’ ialah (ber)serta, bersama, disertai (oleh), ditemani (oleh). Contoh ayat, saya pergi menonton wayang dengan adik saya. Seorang tua dengan anaknya sekali telah mati terbunuh. 
 
Kata ‘dengan’ ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan cara sesuatu itu dilakukan (dicapai) atau alat yang digunakan. Contohnya, Ahmad membelah durian dengan parang. Kerja ini dapat diselesaikan dengan kerjasama yang erat daripada semua pihak. Menambah ilmu pengetahuan dengan membaca. 
 
Kata ‘dengan’ juga bermaksud melawan, menentang: bergaduh dengan adiknya; berperang dengan musuh.
 
Definisi kata ‘dengan’ juga bermaksud kata yang menunjukkan atau menyatakan keadaan (gaya dsb): Ahmad menerima hadiah itu dengan terketar-ketar; men­jerit dengan sekuat hati; menghadapi masalah dengan tenang.
 
Ia juga bermaksud oleh, kerana, atas; dengan nama Allah atas nama Allah; dengan yang demikian oleh yang demikian.
 
Kata ‘dengan’ turut digunakan untuk menyatakan hubungan kesesuaian (ke­cocokan, keselarasan, dsb): tindakan yang diambil sesuai dengan keadaan; sependapat dengan saya.
 
Kata ‘dengan’ adalah kata yang menjelaskan sesuatu perolehan (pencapaian dsb): ramai pelajar yang lulus dengan mendapat gred dua.
 
Kata ‘dengan’ juga digunakan untuk menunjukkan tumpuan sesuatu perbuatan (sikap, pernyataan, dll): Sukor akan ber­bincang dengan dia sebelum membuat keputusan; barangkali demikian juga halnya dengan cerpen-cerpen di dalam Rintisan.

No comments:

Post a Comment