Thursday, 1 December 2016

FATWA HUKUM LABUR DALAM ASN ASB



Sebelum ini terdapat kilaf atau perbezaan pendapat mengenai hukum pelaburan dalam ASN dan ASB apabila terdapat majlis fatwa negeri mengharamkan pelaburan dalam skim yang telah diperkenalkan sejak 20 April 1981 oleh Tun Hussein Onn.

Sebelum ini terdapat 3 fatwa menghukumkan ia haram iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Pahang. Namun kilaf ini selesai apabila ketiga-tiga negeri itu melalui mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri masing-masing telah mengeluarkan hukum harus untuk pelaburan dalam ASN dan ASB serta pelaburan lain dalam Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Keputusan harus melabur dalam ASN dan ASB selaras dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Keterangan/Hujah: 

Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.

- Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas.

- Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

- Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

- Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.

- PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.
 
Manakala Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 27 Disember 2009 telah membincangkan hukum pelaburan dalam skim ASB, ASN dan pelaburan-pelaburan lain seumpamanya. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan bahawa hukum pelaburan dalam skim ASB, ASN dan pelaburan-pelaburan lain seumpamanya adalah diharuskan.

Keterangan/Hujah: 

Keputusan ini di buat berdasarkan hujah-hujah berikut:

- Harus melabur dalam skim ASB, ASN dan seumpamanya kerana kedudukan ekonomi orang melayu islam di Negara ini yang disifatkan berada ditahap darurat. Darurat yang dimaksudkan di sini ialah dilihat dari aspek ekonomi ummat secara keseluruhan bukan dari sudut individu.

- Pelaburan skim-skim ini dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Hukum berurusan dengan orang yang mempunyai harta yang halal lebih banyak daripada yang haram adalah harus. Rasulullah S.A.W dan para sahabat berurusan dengan orang Musyrikin yang mereka maklum tidak meninggalkan perkara yang haram sama sekali. Sementara bermuamalat dengan orang yang memiliki harta haram lebih banyak dari yang halal adalah makruh selama tidak diketahui atau tidak ditentukan Ain yang haram tersebut.

Contoh hukum haram melabur dalam ASN dan ASB sebelum ini (sebelum difatwakan semula sebagai harus) ialah apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor Jabatan Mufti Selangor sebagaimana diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 2/2011 yang bersidang pada 12 April 2011 yang memutuskan bahawa skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal lantaran bertentangan dengan hukum syarak.

Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.

Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.

Diharapkan apabila semua negeri telah menfatwakan harus melabur dalam ASN dan ASB, tidak timbul lagi isu haram yang dibangkitkan sebelum ini.

Hakikatnya Majlis Fatwa mengambil pendekatan ijtihad secara kolektif yang membuat pertimbangan mengenai satu-satu isu secara kefahaman holistik yang seiring dengan prinsip dan kaedah syarak. "Berhukum atas sesuatu mesti memperkirakan kefahaman menyeluruh mengenai isu tersebut." (Al-Ghazali, Al-Mustashfa fi usul al-fiqh; 9-11)

Dalam konteks ijtihad sebegini, tiada istilah siapa yang betul mahupun salah secara mutlak, sebagaimana hadis Nabi SAW: "Apabila seorang hakim memutuskan sesuatu keputusan, maka dia berijtihad dan ijtihadnya betul, maka baginya dua pahala. Dan apabila dia berijtihad dan keputusannya salah, maka baginya satu pahala."

Seharusnya sebagai umat Islam kita diasuh supaya bertasamuh atau berlapang dada dalam berbeza pandangan apatah lagi dalam hal yang melibatkan perkara-perkara ijtihad yang terbuka luas untuk umat berbeza pandangan. Malah tiada siapa berhak mendakwa pandangan merekalah yang betul dan diterima Allah.


Sebab itulah kita wajar mencontohi akhlak ulama muktabar terdahulu seperti Imam As-Syafie Rahimahullah yang menyebut: "Pandanganku benar namun boleh jadi salah, pandangan orang lain salah namun boleh jadi benar."

No comments:

Post a Comment