Friday, 2 December 2016

FILIPINA TUNTUT SABAH



Sejarah Filipina tuntu Sabah telah lama berlarutan. Filipina sekali lagi (17 Mei 2015) menegaskan bahawa mereka akan terus berusaha menuntut Sabah dan akan melakukan kajian terperinci sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sabah jadi sebahagian Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Suruhanjaya Cobbold dibentuk untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak berkenaan cadangan penubuhan Malaysia.  

Suruhanjaya ini dinamakan Suruhanjaya Cobbold sempena nama mengerusinya, Lord Cobbold.

Kerajaan Filipina menegaskan adalah mustahil untuk menamatkan tuntutan itu kerana perkara itu akan mengundang rasa tidak senang rakyatnya.

Filipina telah menjalankan kajian mengenai tuntutan itu dan berpendapat tuntutan Sabah adalah isu yang paling besar dalam penentuan hak dan maruah negara Filipina.

Isu tuntutan Sabah ini sangat luas kerana melibatkan sejarah. Pada akhirnya, adakah orang yang tinggal di sana akan ditanya sama ada mereka mahu kekal bersama Malaysia?  Sepatutnya ada pungutan suara terlebih dulu.  

Filipina mengekalkan tuntutan wilayah di timur Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara dengan menyatakan penjanjian yang ditandatangani pada tahun 1878 antara Sultan Sulu dan Borneo Utara adalah pajakan semata-mata.

Malaysia mentafsirkan perjanjian 1878 sebagai satu penyerahkan dan merasakan rakyat di Sabah telah menentukan nasib mereka dengan menyertai Tanah Melayu pada tahun 1963.

Sejarah tuntutan Filipina terhadap Sabah bermula pada Jun 1962 apabila wujud perancangan untuk memasukkan Sabah menjadi sebahagian Persekutuan Malaya (pada waktu itu). 

Kerajaan Filipina telah membuat tuntutan ke atas Sabah bagi pihak waris Kesultanan Sulu.  Filipina pada masa itu mendakwa bahawa Sabah hanya dipajak dan bukannya dijual sepertimana termeterinya perjanjian antara Sultan Sulu dengan Baron Von Overback dan Alfred Dent pada tahun 1874, dan pajakan itu telah dibatalkan pada tahun 1958. 

Kerajaan British sememangnya mengakui kedaulatan Filipina ke atas Sabah, namun enggan melayan tuntutan itu.

Oleh yang demikian, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk berunding pada Febuari 1963  namun gagal mencapai kata putus kerana kerajaan British enggan mengiktiraf kedaulatan Filipina ke atas Sabah. Hubungan dua hala Malaysia dan Filipina pada ketika itu tegang. 

Berdasarkan fakta sejarah dan bukti-bukti yang lain, Kesultanan Sulu dikatakan sudah tidak wujud lagi lama dahulu sekaligus menjadi faktor yang menolak tuntutan Jamalul Kiram III ke atas Sabah.

Berakhirnya legasi Kesultanan Sulu, semasa Sultan Sulu ketika itu Jamalul Kiram II menandatangani Protokol Madrid pada 1885 yang mengesahkan semua wilayah, kedaulatan, dan kuasa Kesultanan Sulu kepada Sepanyol dan menyerahkan kedaulatan Sabah kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (BNBC).

Protokol Madrid itu kemudiannya diiktiraf sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2003.

22 Januari 1878 satu penjanjian telah ditandangani oleh Sultan Sulu kepada Overback dan Dent setelah mendapat tahu bahawa Sultan Sulu juga mempunyai hak ke atas Sabah setelah dimaklumkan oleh Pemangku Gabenor Labuan dan Konsul Agung Borneo ketika itu iaitu, William Hood Treacher. 

Di dalam perjanjian itu, Sultan Sulu bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan “hak pertuanan” meliputi kawasan dari sungai Sibuku hingga ke Sungai Padasan di Sabah kepada syarikat Overback dan Dent. 

Pajakan yang dipersetujui oleh Sultan Sulu itu merupakan penyerahan kekal sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian “selagi ada bintang dan cakerawala”.

Di dalam perjanjian antara Sultan Sulu dengan BNBC pada 1878 pula, waris-waris Sultan Sulu telah menerima bayaran ‘cession’ sehingga ke hari ini, yang membawa maksud waris-waris Sultan Sulu mengakui Sabah telah diserah (ceded) , dan bukannya dipajak (leased) , kepada British North Borneo Company.

Kesultanan Sulu kemudiannya menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat pada 22 Mac 1915 iaitu Perjanjian Carpenter di mana Sultan Sulu menyerahkan sepenuhnya kuasanya ke atas wilayah-wilayah serta “kedaulatannya” kepada AS. 

Maka dengan kedua-dua penjanjian itu, sudah jelaslah Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara, mahupun sebuah kerajaan, tetapi hanya tinggal sebagai institusi beraja tanpa kekuasaan.

Isu pajakan Sabah kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara ini telah dibawa dua kali ke mahkamah, dan tahun 1939 adalah yang pertama. Keputusan Hakim Mahkamah Seksyen Borneo Utara memutuskan BNBC untuk terus membayar kepada waris-waris Kesultanan Sulu.

Setelah Sabah menyertai Malaysia dan merdeka, pihak kerajaan telah meneruskan bayaran pajakan itu kepada Sembilan waris Kesultanan Sulu, setelah mengambil alih pemerintahan daripada pihak British.

Status Kesultanan Sulu sebagai sebuah kerajaan terus hilang ekoran Kesultanan Sulu telah menyerahkan wilayah-wilayah serta kedaulatannya kepada Filipina diikuti tindakan kerajaan Filipina berhenti mengiktiraf Sultan Sulu selepas kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

Oleh yang demikian, tuntutan Jamalul Kiram III dianggap tidak sah memandangkan Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara dan kerajaan, serta sudah hilang kedaulatan dan kekuasaannya kerana telah menyerahkan wilayah-wilayah serta kedaulatannya kepada Sepanyol, Amerika Syarikat dan Filipina.

Tambahan pula, perjanjian pajakan itu di antara Kesultanan Sulu dengan BNBC dan bukannya antara waris Kesultanan Sulu dengan BNBC. Malahan Jamalul Kiram III tidak diiktiraf sebagai Sultan Sulu oleh mana-mana kerajaan, termasuk kerajaan Filipina dan juga waris-waris yang lain.

Pada padangan penulis, kerajaan Filipina akan mencuba nasib dalam menuntut Sabah berdasarkan kepada ada pihak-pihak yang ingin membawa keluar Sabah daripada Malaysia. 

Justeru, untuk mengelak 'memberi harapan' kepada kerajaan Filipina, kerajaan Malaysia perlu bertegas menyelesaikan sebarang usaha yang dilakukan sendiri oleh rakyat Malaysia untuk mengeluarkan Sabah dari Persekutuan Malaysia.

No comments:

Post a Comment