Wednesday, 30 November 2016

KEPERLUAN MENDERMA DARAH

Derma darah amalan terpuji dan berjasa.  Keinginan menderma darah perlu wujud dalam diri setiap individu sebagai tanggungjawab membantu sesama manusia.  

Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan stok darah kritikal untuk digunakan oleh mereka memerlukan pemindahan darah.  Bakalan darah tidak mencukupi memandangkan bilangan penderma darah tidak selari dengan keperluan semasa. 

Satu unit darah yang dikeluarkan dari badan penderma dapat menyelamatkan nyawa penerimanya seperti mangsa demam denggi, mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah, ibu-ibu yang mengalami tumpahan darah selepas bersalin, bayi yang memerlukan pertukaran darah, pesakit talasemia, pesakit anemia, mangsa kebakaran, pesakit leukemia dan pesakit haemifilia.

Islam menggalakkan amalan tolong menolong, terutama dalam soal yang penting ini.  Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu di atas kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan di atas dosa dan penindasan.

Darah adalah cecair berwarna merah mengalir di dalam tubuh manusia dan binatang.  Ia ‘kuasa’ menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin.  Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah.  Dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia dapat menggantikannya.  

Percubaan menggunakan darah binatang tidak pernah berjaya.  Seorang pakar bedah cuba menggunakan darah binatang menggantikan darah manusia dituduh sebagai pembunuh setelah pesakitnya meninggal dunia akibat pemindahan darah itu. 

Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya.  Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB.  

Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja.  Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.  Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah.  Begitulah uniknya darah.    

Darahlah bermulanya hayat manusia.  Dari darah terjadinya air mani.  Sabda Rasulullah menjelaskan 40 titik darah menjadi setitik air mani.    

Menderma darah disepakati ulamak hukumnya harus, yakni boleh dilakukan.  Ia berdasarkan kepentingan pemindahan darah yang tanpanya menyebabkan mangsa menghadapi maut atau penyakit tidak sembuh.  

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah.  Individu mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut.  Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa melalui proses pemindahan darah.  

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya diharamkan ke atas kamu bangkai, darah, daging babi dan apa-apa (binatang) yang disembelih untuk selain daripada Allah.  Maka barang siapa yang terpaksa sedang dia tidak durhaka dan tidak melampau, maka tidaklah (kena) apa-apa dosa ke atasnya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 173).  

Allah juga menjelaskan perkara ‘terpaksa’ ini dalam surah al-An’aam ayat 119 bermaksud: “Sedang Dia (Allah) telah jelaskan kepada kamu apa-apa yang diharamkan-Nya ke atas kamu, kecuali apa yang terpaksa….”

Wajar membantu sesama manusia.  Darah yang didermakan akan dibantu secara automatik oleh badan. Kita tidak rugi, bahkan beruntungkan kerana menderma darah dapat membantu banyak perkara untuk kebaikan diri sendiri. 

Proses menderma darah amat ringkas.  Tidak mengambil masa yang lama.  Tidak ada rasa sakit ‘melampau’ atau kesan sampingan.  Penderma darah dapat meneruskan tugas seharian sebaik selepas menderma kecuali mereka yang melakukan tugas menggunakan banyak tenaga. 

Pusat atau unit menderma darah sentiasa mengalu-alukan penderma darah.  Jangan takut menjadi penderma.  Itu satu bakti besar kepada yang memerlukan.  Anda wira menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan pemindahan darah.  

No comments:

Post a Comment