Wednesday, 30 November 2016

TULIS BACA CETUS ILMU

Membaca dan menulis mempunyai hubungan amat rapat.  Kita dapat membaca jika ada apa yang ditulis.  Manakala orang akan terus menulis jika ada orang ingin membacanya. 

Hasil penulisan melahirkan buku, akhbar, majalah dan terkini dalam bentuk maya seperti blog, laman sesawang dan sebagainya.  Semua itu menjurus kepada merealiasikan konsep ‘iqra’ dalam kehidupan. 

Penulisan satu kaedah manusia untuk merakam, mendokumentasi dan memberi maklumat kepada manusia. 

Kita banyak mendapat maklumat mengenai masyarakat dulu melalui tinggalan penulisan di dinding gua, kawasan perkuburan, binaan, tembikar dan batu.  Apabila kertas mula dicipta, penulisan menjadi lebih mudah dan lebih banyak rakaman sejarah dapat disimpan. 

Ann Quindlen, seorang pengarang terkenal Amerika Syarikat dalam bukunya How Reading Changing My-Life (1998) menulis: “Saya percaya membaca pelbagai karya orang luar akan mengajar kita untuk mengetahui, menghayati dan mentafsir pengalaman orang lain dan hal ini menjadikan saya menemui mutiara-mutiara baru dalam kehidupan saya”. 

Sememangnya membaca itu dapat membawa seseorang kepada dunia kehidupan yang lebih luas.  Kita dapat menyelami ungkapan dialog, kekayaan imaginasi, luapan emosi dan gelora kreativiti yang digarapkan oleh penulis. 

Kita dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dalam masa singkat, biarpun sebenarnya himpunan maklumat dalam buku itu sebenarnya mengisahkan tempoh masa yang panjang atau masa untuk menulisnya agak lama. Itulah kehebatan membaca.

Ini bermakana mudahnya untuk kita mendapat sesuatu melalui pembacaan, sedangkan pengarang buku itu telah berkorban masa, tenaga dan wang untuk menyiapkan buku itu. 

Bahkan, kita dapat membaca kisah sukar ketika peperangan atau keadaan tidak selamat yang mana penulis sendiri berdepan suasana antara hidup dan mati.

Dengan kata lain, menerusi buku dan pembacaan manusia dalam mengalami sesuatu peristiwa dan pengalaman tanpa perlu melalui situasi sebenar.  Jika ia berkaitan ilmu atau penemuan baru, pembaca mendapat 'barang siap' tanpa perlu melakukan ujikaji mengenai sesuatu perkara dengan hanya membaca.  

Ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan manusia terutamanya ketika semua pihak sedang bersaing untuk mencari ilmu yang berkualiti bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa. 

Masyarakat membaca mencapai kejayaan dalam apa juga bidang diterokoi.  Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan membolehkan mereka mengaplikasikan untuk kejayaan.

Bagi mereka yang masih di bangku sekolah atau pusat pengajian tinggi, bersemuka dengan guru dan pensyarah adalah kaedah untuk menuntut ilmu. 

Namun, bagi orang ramai, peluang terbuka luas untuk menuntut ilmu ialah melalui pembacaan.  Sesiapa yang membaca bermakna secara berteruskan berada dalam proses menuntut ilmu.







No comments:

Post a Comment