Wednesday 30 November 2016

Cara galak minat membaca

Kerajaan meningkatkan usaha galak minat membaca di kalangan rakyat sesuai dengan usaha melahirkan rakyat yang berilmu. Sekarang boleh dikatakan semua golongan muda boleh membaca.  Jadi, golongan ini tidak sukar untuk terus mendapat ilmu melalui pembacaan biarpun telah berhenti dari alam persekolahan atau pendidikan formal.

Dalam tempoh masa sedekad lalu, negara mengalami pembangunan pesat dalam mewujudkan pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Pendidikan tinggi negara bukan saja membuka peluang kepada rakyat, bahkan Malaysia kini menjadi hub pendidik tinggi yang menarik pelajar antarabangsa. Kini terdapat kira-kira 107 ribu pelajar asing menuntut di negara kita dalam pelbagai bidang.

Namun, dalam kita merasa bangga prestasi pembangunan pendidikan negara, satu perkara yang masih mengecewakan ialah pemugaran budaya membaca.

Kadar membaca rakyat Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan kadar celik huruf dan kebolehan mendapat bahaan bacaan dengan mudah. 

Perkara ini merenjatkan proses berterusan menuntut ilmu. Didapati golongan pelajar hanya membaca buku atau nota untuk tujuan peperiksaan.  Selepas tamat pengajian amalan itu ditinggalkan. 

Mereka yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan belum tentu dapat digelar bijak pandai. Ini kerana ilmu dipelajari di sekolah dan institut pengajian tinggi hanya sebahagian daripada ilmu yang banyak.

Perlu ditegaskan, ilmu atau kemahiran yang diperoleh sepanjang belajar secara formal hanya asas dan ia perlu dikembangkan secara berterusan untuk menghadapi realiti ilmu yang sebenar. 

Tambahan pula, apa yang dipelajari mudah dilupai jika kita tidak terus membaca dari sumber lain untuk proses pengukuhan ilmu. Ilmu yang dipelajari sebelum ini mungkin menjadi ‘basi’ akibat perubahan masa dan teknologi. Maka, proses mengemaskini ilmu perlu dilakukan melalui pembacaan.

Kita dapat lihat bagaimana budaya membaca di kalangan rakyat Jepun diamalkan secara meluas. Di mana-mana saja kita dapat melihat orang membaca di Jepun seperti dalam kenderaan awam, di taman-taman dan restoran sambil menikmati hidangan. Membaca menjadi rutin rakyatnya tidak kira usia. 

Jepun yang mempunyai rakyat celik huruf yang tertinggi di Asia iaitu sebanyak 99 peratus. Industri buku berkembang pesat di Jepun sehinggakan kedai buku di negara itu menjadi tempat istimewa untuk dikunjungi.  

Kedai buku menyediakan kemudahan dan layanan seperti hotel yang menyediakan lobi bagi memudahkan pengunjung membuat temu janji dan mengadakan sesi perbincangan.

No comments:

Post a Comment