Thursday 30 March 2017

Ketepatan hadis berkaitan sains

Hadis Nabi SAW berkaitan sains adalah benar dan tepat dengan apa yang dikaji oleh ulama kemudian dan ahli sains moden hari ini. Menariknya, hadis yang berkaitan sains itu bukan saja menepati pada masa zaman hayat baginda, bahkan melepasi jangkaan masa lebih seribu tahun. 

Dengan kata lain, hadis berkaitan sains bukan saja dapat dimanfaatkan pada masa itu, bahkan menjadi asas kajian kepada pengkaji terkemudian. Paling menarik, apa yang diperkatakan oleh Rasulullah SAW hanya dapat dibuktikan lebih 1400 tahun kemudian, contohnya dalam hal wanita turut mengeluarkan air mani. 

Kebenaran hadis Rasulullah SAW tentu sekali mengejutkan para pengkaji. Mereka terpaksa melakukan kajian yang panjang, menggunakan perlbagai kelekapan moden, serta melibatkan banyak pakar, baru mampu mendapat keputusan kajian. Sedangkan Rasulullah SAW menyatakan sesuatu perkara tanpa melibatkan kajian.

Ternyata, bahawa kata-kata Rasulullah SAW bukan sekadar ucapan biasa manusia, tetapi merupakan wahyu daripada Allah SWT.  Allah Maha Pencipta dan mengetahui apa saja mengenai kehidupan ini.  

Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW wajar berbangga dan menerima hadis tanpa ragu-ragu. Sesungguhnya, kebenaran pada hadis tidak dapat disangkal lagi.

Sekiranya bukan Islam menunjukkan minat untuk mengkaji dan mendalami apa yang terdapat dalam hadis,mengapa pula kita sebagai umatnya menolak atau memandang rendah kepada kebenaran hadis.

Sebenarnya banyak lagi hadis berkaitan sains yang menjadi sumber asas rujukan kepada para sainstis untuk membuat kajian lanjut dan mereka menemui kebenarannya. 

Contohnya hadis yang berkaitan dengan darah, kejadian atau pembentukan janin dalam rahim ibu, keberkesanan tanah sebagai alat menyuci, kebaikan melakukan aktiviti riadah dan banyak lagi. 

Sesungguhnya, alangkah eloknya jika kajian-kajian ini turut dilakukan oleh sainstis Islam dan dijadikan sebagai sumber inspirasi untuk meneroka alam sains dengan lebih mendalam lagi.  Umat Islam mampu bangkit jika lebih peka kepada kajian sains dan teknologi serta hal berkaitan komunikasi moden hari ini. 

Namun, satu perkara yang perlu diingatkan, kebenaran hadis diharapkan tidak ada tokok tambah oleh pihak yang mengambil kepentingan berkaitan maksud hadis tersebut. Sekarang ini terlalu banyak pihak yang menggunakan hadis, terutama berkaitan khasiat sesuatu makanan sehingga melebih-lebihkan untuk menarik orng ramai membelinya.  

Contohnya berkaitan khasiat habbatussauda yang ‘dilebihkan’ hingga dianggap mampu menyembuhkan semua penyakit. Mereka menggunakan maksud hadis : “Dalam habbatussauda terdapat ubat dari segala penyakit kecuali mati.” (Hadis riwayat Muslim). 

Atas alasan itu, mereka mendakwa habbatussauda mampu menyembuhkan semua jenis penyakit. Hakikatnya, jika kita rujuk syarah hadis menjelaskan sebaliknya. Ini adalah salah satu bentuk penyalahgunaan hadis secara penipuan untuk kepentingan peribadi. 


No comments:

Post a Comment