Thursday 30 March 2017

Matlamat Maqasid Syariah

Maqasid syariah menetapkan matlamat yang antara lain untuk mendapat kebaikan, menghilangkan keburukan, memilih yang kurang buruk dan mengutamakan kepentingan orang ramai berbanding individu. Maqasid syariah memberi panduan yang jelas untuk mencapai matlamat itu berdasarkan al-Quran dan sunah. 

Mendapat Kebaikan

Kebaikan adalah matlamat hidup. Tidak ada manusia yang ingin kepada keburukan atau menolak kebaikan.  Namun, dalam mencari kebaikan atau keuntungan diri, orang Islam perlu terikat dengan hukum dan peraturan. Dalam hal ini penetapan hukum melalui maqasid syariah adalah penting dilakukan di kalangan ulama untuk dijadikan panduan masyarakat umum. 

Antara yang perlu diberi perhatian untuk membangunkan umat Islam ialah melalui jihad ekonomi. Umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi. 

Di Malaysia, antara yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan bidang ekonomi orang Islam dengan mewujudkan amanah saham yang dilihat dapat memberi pulangan yang baik, selain kemungkinan rugi lebih rendah berbanding melabur di bursa saham.

Namun, terdapat pendapat yang mengatakan saham amanah yang dikendalikan oleh Perbadanan Nasional Berhad tidak memanuhi tuntutan syariat atau haram. Dalam hal ini Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa pelaburan dalam amanah saham seperti Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Bumiputera dan skim amanah saham lain yang dikendalikan oleh Perbadanan Nasional Berhad adalah harus, yang antara lain hujahnya adalah untuk mendapatkan kebaikan.

Menghilangkan keburukan.

Antara matlamat maqasid syariah ialah menghilangkan keburukan. Tidak ada orang ingankan keburukan terjadi kepada diri, keluarga dan sesiapa saja yang disayangi. Bahkan, sebagai umat Islam, seluruh orang beragama Islam adalah dianggap sebagai bersaudara. 

Kita tahu semua orang ingin cepat sampai ke tempat dituju. Jadi, apabila memandu, mereka akan memandu laju. Banyak orang sanggup mengubah suai kenderaan masing-masing untuk meningkatkan kelajuan kenderaan masing-masing biarpun melibatkan kos yang mahal. Begitu juga, orang membeli kereta berkuasa tinggi yang harganya berkaliganda lebih mahal semata-mata untuk kelajuan. 

Namun, kerajaan menetapkan peraturan had laju.  Siapa memandu melebihi had laju ditetapkan, mereka akan dikenakan denda. Peraturan itu bertujuan untuk menghilangkan keburukan yang timbul akibat memandu laju. 

Mengikut statistik dikeluarkan JPJ dan Polis, antara faktor terbesar menyumbangkan kepada berlaku kemalangan ialah memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan. Kadar kemalangan jalan raya di negara kita antara yang tertinggi di dunia. Purata 15 kematian setiap hari akibat kemalangan. 

Negara kehilangan modal insan dan kerugian ekonomi yang besar setiap tahun.  Amat malang sekali, majoriti yang menjadi mangsa korban adalah orang Islam. Justeru, pemahaman mengapa kerajaan menetapkan had kelajuan adalah untuk menghilang atau mengurangkan kadar kemalangan. Dalam konters maqasid syariah ia bertujuan untuk menghilangkan keburukan.

Memilih Yang Kurang Buruk.

Dalam kehidupan seharian kita tidak lepas berdepan dengan dua atau lebih pilihan.  Maka dalam hal ini, maqasid syariah menetapkan kita perlu memilih apa yang lebih baik dan ke arah lebih baik.

Hal ini dapat kita lihat dalam kes pemberian jarum suntikan percuma kepada penagih dadah dan meterdom untuk mengatasi masalah ketagihan dadah.  Banyak pihak yang mendakwa tindakan kerajaan itu akan lebih menggalakkan penagih melakukan suntikan. Kemungkinan itu ada, tetapi itu akan dapat mengelak mereka berkongsi jarum. Maka, itu dapat mengurangkan kadar jangkitan AIDS di kalangan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan ketika mengambil dadah.

Laporan Kementerian Kesihatan mendapatan kadar kejayaan program itu memberangsangkan, biarpun tidak mencapai sasaran. Dengan kata lain, program itu berjaya mengurangkan kesan buruk, biarpun keburukan masih tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Justeru, program itu perlu diteruskan dan diusahakan kaedah lebih baik untuk mencapai kejayaan.    

Utamakan Kepentingan Orang Ramai Berbanding Individu.

Konflik kepentingan memang sering berlaku dalam kehidupan seharian.  Masing-masing mendakwa hak dan kepentingan masing-masing. Dalam hal ini maqasid syariah menentukan apa yang sepatutnya dilakukan.

Contohnya, seorang peniaga berniaga di bahu jalan kerana jualannya laku dan memberi keuntungan yang besar, berbanding jika dia berniaga di tempat yang dikhaskan untuk peniaga. Malang sekali perbuatan itu menyebabkan menghalang dan mengganggu lalu lintas, bahkan mendatang bahaya yang boleh menyebabkan kemalangan dan kematian. Usaha peniaga itu mencari rezeki memang tepat dan dipuji. Kita perlu mencari rezeki untuk diri sendiri dan keluarga. Namun, perbuatan itu boleh mendatangkan masalah dan kemudaratan kepada orang ramai. Tambah lagi, kecelakaan yang mungkin terjadi lebih besar daripada manfaat yang diperoleh. 

Maka, berdasarkan kepada maqasid syariah, tindakan perniaga itu adalah salah dan wajar pihak berkuasa mengenakan tindakan menghalangnya daripada terus berniaga di situ. Tetapi tindakan kerajaan sering disalahanggap sebagai zalim dan menyusahkan rakyat.  Perkara ini dapat diatasi jika mereka memahami maqasid syariah. 

No comments:

Post a Comment