Thursday, 30 March 2017

BINA MELAYU KUAT

Perkara 160 (2) takrif Melayu adalah beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.  Maka, jika seorang Melayu meninggalkan Islam, bermakna dia tidak lagi dianggap Melayu.

Dengan kata lain, jika memperjuangkan Melayu, bermakna memperjuangkan Islam. Akar Melayu itu Islam. Banyak Melayu di Malaysia asalnya bukan Tanah Melayu, hingga ada dari benua India.  Mereka jadi Melayu melalui Perkara 160 (2) yang kata akarnya adalah Islam. 

Umat Melayu sama ada kepemimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam.  Usaha membina keteguhan nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan perlu dijadikan teras perjuangan.

Pemimpin Melayu tidak wajar berdolak dalih dan menghalalkan perjuangan sedangkan apa yang dilakukan itu bersifat perpecahan dan permusuhan sesama Melayu. Islam tidak membenarkan perpecahan semata-mata untuk mencapai kemenangan. 

Akibat buruk perpecahan tidak berbaloi dengan kemenangan yang dicapai.  Ini kerana kemenangan itu pula akan dicabar oleh pihak yang kalah.  Akibatnya, perpecahan terus berlaku dan mendatangkan kerugian berpanjangan kepada bangsa dan agama.

Rakyat Malaysia bukan berbangsa Melayu dan bukan Islam tidak patut bimbang dengan hak keistimewaan yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada bangsa Melayu.  

Perkara 153 meletakkan tanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera, tetapi pada masa sama turut menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain.

Perkara 3 pula meletakkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Perkara 153 bukan untuk Melayu saja, tetapi juga kaum bumiputera serta kaum-kaum lain.  Sedangkan Perkara 3 dengan jelas membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai. 

Jikalau Melayu tamak kuasa dan menzalimi kaum lain, sudah tentu kaum-kaum lain tidak akan diterima secara automatik sebagai warganegara berdasarkan kepada prinsip jus soli yang memberi taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada tempat dilahirkan. 

Kaum Cina dan India diterima sebagai warganegara dalam proses negara mencapai kemerdekaan melalui jus soli.  

Perkara ini tidak berlaku di negara-negara lain yang mana kaum asal menerima kaum pendatang untuk berkongsi kuasa dan kekayaan negara.  Melayu telah melakukan pengorbanan besar dan tidak perlu diragui keikhlasan menerima kehadiran kaum lain demi mendapat kemerdekaan. 

Hari ini, untuk berjaya Melayu mesti menyelesaikan kemelut perpecahan sesama sendiri.  Melayu perlu kembali kepada tuntutan Islam yang pentingkan perpaduan dan persaudaraan.  Setelah perkara ini dapat diselesaikan, tidak ada lagi penghalang untuk Melayu mencipta kejayaan dan kegemilangan.

Kemajmukan tidak harus menjadi suatu realiti menakutkan. Integrasi boleh berlaku jika hubungan minda diperteguhkan, hubungan hati diperkukuh supaya setiap warga Malaysia berasa selesa dan yakin terhadap hala tuju kepimpinan negara.  

Harus wujud suasana kebebasan memberikan pandangan membina supaya setiap pihak berasa selesa dengan kritikan membina untuk kebaikan semua.

Melayu tidak harus leka, Melayu perlu terus melangkah maju dan berdikari. Melayu perlu berusaha menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka;

Melayu perlu memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.

Seandainya bangsa Melayu mengekalkan keutuhan perpaduan dalam kalangan mereka dan berusaha ke arah memajukan bangsa, tiada apa yang tidak mampu dikecapi bersama.

Generasi muda Melayu harus mengenali dan memahami akar budaya bangsa demi memperkukuh jati diri tidak kira di mana jua mereka berada.

Pemahaman terhadap nilai yang terkandung dalam budaya Melayu secara tidak langsung dapat menghubungkan bangsa itu tanpa mengira sempadan negara.

Bangsa Melayu itu bertebaran di merata-merata. Dari negeri-negeri di Nusantara hinggalah ke Cape, Afrika Selatan.  Melayu datang dari akar dan ideologi yang sama.

Bangsa Melayu harus menghargai persamaan dan berlapang dada dalam berkongsi adat resam terutama seni dan budaya tanpa menuding jari dan mempersoalkan siapa yang lebih berhak mewarisinya.

Orang Melayu ini bukan sekadar jadi tukang pancing atau bertani. Mereka berdagang, merantau dan membawa bersama budaya mereka keseluruh dunia. Hebatnya Melayu.
   

No comments:

Post a Comment