Friday 26 May 2017

Cara buat belacan

Belacan merupakan sejenis bahan perisa masakan yang diperbuat daripada udang kecil atau dipanggil geragau digaul bersama garam. Ia mempunyai bau agak kuat tetapi sedap dan digemari ramai.

Terdapat sesetengah orang yang gemar membakarnya sedikit sebelum digunakan kerana ini membangkitkan baunya. Orang Melayu jika tak tahu makan belacan sering kali ditertawakan atau diejek. Begitulah sinonimnya belacan dalam kehidupan orang Melayu.

Tetapi belacan kini telah diterima oleh semua peringkat usia dan bangsa di Malaysia. Bahkan ada pengeluar belacan terdiri bukan Melayu.

Proses pembuatannya agak mudah tapi memerlukan kemahiran untuk menghasilkan mutu dan kualiti belacan agar tahan lama.

Bahan asas belacan ialah udang geragau dan garam. Ada juga mencampurkan dengan gula dan sagu. Udang yang digunakan untuk diproses membuat belacan hendaklah terlebih dahulu dibersihkan daripada sebarang kotoran seperti tanah, pasir, habuk, kulat dan sebagainya. Garam yang digunakan pula ialah jenis garam halus. Jumlah garam yang digunakan biasanya ialah 10% daripada jumlah berat udang yang digunakan.

Udang yang telah dibersihkan dicampur dengan garam halus dan digaul rata.  Bahan yang telah dicampurkan itu diletakkan di atas nyiru atau tikar untuk dikeringkan separuh kering.

Udang yang bergaram yang telah dijemur separuh kering tadi dikisar atau kaedah lamanya dengan cara menumbuk di dalam lengsung supaya separuh hancur.  Bahan yang telah ditumbuk itu dibungkus dengan kain dan dimasukkan ke dalam tong dan ditekan supaya menjadi padat. Ia perlu diperam selama seminggu.

Setelah diperam selama seminggu, bahan itu dikisar sekali lagi supaya adunan hancur menjadi halus. Selepas itu dibungkus semula dengan kain dan dimasukkan ke dalam tong dan ditekan supaya menjadi padat. Kemudian diperam selama seminggu lagi.

Langkah tersebut diulang beberapa kali bagi menghasilkan belacan bermutu tinggi. 

Belacan asli diproses mengambil masa lama kerana menjamin mutu dan kualitinya.  Belacan asli tidak menggunakan kimia Rhodamine B yang digunakan sebagai pewarna mencantikkan belacan. Bahan kimia Rhodamine B berbahaya untuk kesihatan.

Petua untuk mendapatkan bekalan belacan yang asli adalah dengan membeli belacan buatan kampung dan bukannya belacan kilang. Belacan buatan kampung adalah diusahakan sendiri oleh orang kampung.

Belacan asli berwarna kelabu atau pudar. Kalau yang berwarna merah atau jingga, itu dicampur dengan pewarna. Boleh mangakibatkan barah

No comments:

Post a Comment