Wednesday 7 June 2017

Tidak mampu makan sahur

Alhamdulillah. Banyak pihak menganjurkan atau mengadakan program berbuka untuk orang ramai. Bagi anak-anak yatim, mereka berpeluang untuk berbuka di hotel dan restoran anjuran kementerian, jabatan, syarikat, parti politik mahupun individu. Program yang sama tidak kurang juga menjemput orang miskin dan golongan asnaf lain.

Namun, di sebalik itu sedarkah kita ada banyak orang yang sebenarnya tidak berpeluang untuk bersahur di sebabkan tidak ada makanan. Kalaupun mereka bersahur dengan hanya minum air sejuk atau makanan lebihan makanan berbuka puasa.

Perkara ini ketara dapat dilihat di bandar melibatkan golongan gelandangan. Makan sahur amat penting kerana itulah sumber tenaga dan mengelak lapar untuk berpuasa.

Biarpun amalan tidak bersahur juga dilakukan mereka yang tidak mahu bangun bersahur, hakikatnya mereka ini bersahur awal sebelum tidur. Jadi, soal rasa lapar pada siang hari tidak ketara.

Sebaliknya, golongan gelandangan atau mereka yang tidak ada sumber makanan untuk bersahur, sebenarnya mereka juga telah berlapar pada malamnya. Ketika berbuka mereka hanya makan ala kadar kerana kekurangan makanan.

Maka, elok bagi pihak tertentu yang mengadakan program berbuka puasa, juga dicadangkan untuk mengadakan program bersahur.

Kalaupun tidak adakan secara masa khusus, boleh juga diadakan pengagihan makanan yang telah dibungkus seawal pukul satu atau dua pagi. Terpulang kepada mereka untuk makan pada waktu mana. 

Diharapkan lebih banyak pihak yang melakukan usaha menyediakan makanan untuk bersahur kepada golongan memerlukan bantuan. 

No comments:

Post a Comment