Monday 16 October 2017

Agama negara mengikut perlembagaan

Terdapat tiga jenis negara di dunia ini. Pertama negara sekular, kedua negara menyatakan agama 'diutamakan' dan ketiga negara komunia yang tidak mengamalkan kepercayaan dalam sistem pemerintahan.

Perlu diingatkan, lebih dari 15 buah negara di dunia menjunjung agama dalam Perlembagaan Negara masing-masing, mengikut siapakah yang menjadi majoriti (Kristian, Islam atau Buddha).

Antara negara Kristian adalah Ireland (Perkara 6), Norway (Perkara 1), Denmark (Perkara 3), Sepanyol (Perkara 6), Argentina (Perkara 2), Bolivia (Perkara 3), Panama (Perkara 36), dan Paraguay (Perkara 3). Manakala, negara Islam ialah Malaysia (Perkara 3), Afghanistan (Perkara 1), Iran (Perkara 1), Iraq (Perkara 13), Jordan (Perkara 2) dan Syria (Perkara 3) dan negara Buddha ialah Thailand (Perkara 7).

Di Malaysia, Perkara 3 menyatakan Islam agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai tanpa sekatan.

PERKARA 3. UGAMA BAGI PERSEKUTUAN.
(1) Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

(2) Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua ugama Islam dalam Negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga, tertakluk kepada perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua ugama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua ugama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

(3) Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.

(4) Tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.

(5) Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.

Erti kebebasan mengamalkan agama perlu dibaca bersama Perkara 11.

PERKARA 11. KEBEBASAN UGAMA.
(1) Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya.

(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai jika pendapatan dari cukai itu adalah diuntukkan khas sama ada kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud-maksud sesuatu ugama yang lain daripada ugamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan ugama adalah berhak -
(a) menguruskan hal-ehwal ugamanya sendiri;
(b) menubuh dan menyenggara yayasan-yayasan bagi maksud-maksud ugama atau khairat; dan
(c) memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak.

Perkara 11(4) memperuntukkan untuk mencegah mana-mana pihak menyebarkan agama atau fahaman mereka kepada orang Islam.

Sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka dana kerajaan boleh digunakan untuk pembangunan Islam seperti penubuhan berkaitan menjaga agama Islam seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, YADIM dan lain-lain.

Hal ini dijelaskan dalam Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa orang Islam layak menggunakan wang dari Federal Consolidated Fund (Dana Persekutuan Yang Disatukan) untuk tujuan-tujuan pembangunan Islam.

No comments:

Post a Comment