Tuesday 17 October 2017

Sikap setia rakan seagama

Tindakan kerajaan Malaysia membantu umat Islam mengalami kesusahan di luar negara bukan bertujuan mencampuri urusan negara berkenaan. Namun ia lebih kepada tuntutan kemanusiaan yang menjadi agenda Islam.

Sikap setia kawan dan prihatin terhadap kesulitan dihadapi saudara Muslim ini menjadi asas kepada pembentukan masyarakat bertakaful iaitu masyarakat yang terjamin dari segi keselamatan, kesejahteraan dan pemeliharaan hak bagi setiap individu, keluarga serta masyarakat.

Di kalangan masyarakat Islam, setiap orang adalah penjamin kepada keselamatan dan kesejahteraan orang lain. Harta benda dan darah mereka, haram dirampas dan ditumpahkan oleh orang Islam melainkan dengan cara yang hak mengikut undang-undang.

Setiap orang Islam akan berasa selamat serta aman daripada ketakutan dan kelaparan ketika berada di kalangan orang Islam. Inilah suasana pergaulan dan perhubungan antara anggota masyarakat Islam yang dituntut Islam.

Ingatlah, bahawa masyarakat Islam itu dalam hubungan antara setiap anggotanya adalah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang mukmin dengan mukmin yang lain itu adalah seperti satu bangunan yang antara satu dengan yang lain saling menguatkan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika yang mengikut dan menguatkan bangunan itu ialah besi, paku, batu atau simen konkrit, maka yang menyatu dan saling menguatkan binaan masyarakat Islam ialah persaudaraan yang melahirkan perasaan kasih sayang, tolong-menolong, bekerjasama dan takutkan balasan Allah di akhirat.

Menerusi taaruf (berkenalan), ta'awun (bekerjasama), jaminan sosial (tadhamun) dan saling membantu (takaful), maka masyarakat Islam yang penyayang serta prihatin dapat dibina dan ditegakkan.

Bagaimanapun, kekuatan bangunan masyarakat Islam akan roboh oleh perbuatan atau umat Islam sendiri, jika ia dibiarkan dimakan anai-anai, dipecahkan oleh tangan jahat dan dimusnahkan oleh perbuatan ganas yang tidak mengingini masyarakat Islam dibina dengan teguh.

Anai-anai itu ialah permusuhan antara sesama Islam, benci membenci, ghaibah (mengumpat), khianat, tiada setia kawan, fitnah memfitnah, mendedahkan keaiban orang lain dan sebagainya.

Dengan iltizam daripada ajaran Allah dan Rasul-Nya, maka perubahan masyarakat Islam yang kian pincang akan dapat dilakukan secara berkesan, bermula daripada perubahan dalam lingkungan sahabat dan dikembangkan dalam masyarakat lebih luas. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita.

No comments:

Post a Comment