Monday 11 December 2017

Denda merokok di tempat awam

Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada setiap 31 Mei di seluruh dunia, menuntut kerajaan melalui agensi bertanggungjawab, NGO, pihak media dan masyarakat secara keseluruhannya perlu berganding bahu menyokong usaha, kempen dan gerakan antimerokok di seluruh negara.

Tindakan tegas ke atas syarikat pengeluar dan pemodal rokok serta golongan perokok itu sendiri melalui pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang adalah perlu bagi mengelak gejala ini berpanjangan.

Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 melarang tegas aktiviti merokok di dalam pusat hiburan atau teater; hospital atau klinik; lif atau tandas awam; tempat makan atau kedai berhawa dingin; dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam; dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta; lapangan terbang; premis kerajaan; dewan orang ramai; institusi pendidikan; taman asuhan kanak-kanak; dan dalam bas sekolah.

Di samping itu larangan merokok juga diwujudkan di kaunter perkhidmatan dalam bank dan institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia Berhad; di kompleks beli- belah; kawasan stesen minyak; dalam stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium; dalam bangunan awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan; dalam perpustakaan; dan kafe internet.

Jika didapati bersalah dan disabitkan, maka denda tidak melebihi RM10,000 boleh dikenakan atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh dua tahun boleh dijatuhkan oleh mahkamah.

Denda dan hukuman yang lebih tinggi hendaklah dikenakan sekiranya berlaku penyelewengan, manipulasi harga dan penyalahgunaan rokok di samping penerapan kaedah kaunseling dan kempen kesedaran nilai murni kepada perokok tegar bagi mengekang tabiat ketagihan ini di negara kita.

Kaedah perubatan dan pemulihan moden serta tradisional bagi mengurangkan ketagihan dan menyekat aktiviti negatif ini perlu dipertingkatkan lagi melalui kajian dan R&D di bawah seliaan dan bantuan dana penyelidikan kerajaan dan pihak swasta.

Inovasi dan penciptaan ubat penawar kepada masalah ini amat perlu dilaksanakan segera. Pengalaman dan kaedah komprehensif negara maju seperti AS dan Eropah yang berjaya membasmi serta mengurangkan aktiviti penagihan ini hendaklah dipelajari dan diberi perhatian oleh semua pihak.

Kerajaan mengambil beberapa langkah untuk membendung tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia, seperti menaikkan tarif produk tembakau dan larangan penjualan paket kecil 14 batang rokok dan kurang.

Turut diharamkan ialah iklan dan poster rokok di tempat awam termasuk kedai kopi dan pasar mini, di samping tidak membenarkan syarikat tembakau menaja kejohanan bola sepak sejak 2004 dan perlumbaan Formula One (F1) sejak 2005.

Merokok bukan sekadar membahayakan kesihatan, tetapi turut melibat masalah lain. Sikap perokok yang tidak menghormati sensitiviti orang sekeliling memang teruk. Tambah lagi perbuatan itu dilakukan di tempat orang ramai dan kawasan tertutup.

Satu lagi yang ketara ialah di kalangan pelajar dan belia yang merokok menonjolkan sikap ego dan tidak menghomati orang lain. Mereka bebas dan seperti tidak merasakan perbuatan itu. salah.

Satu lagi masalah ialah perbuatan merokok di kalangan pelajar dan remaja ialah mendekatkan mereka kepada perbuatan menghisap dadah, ponteng sekolah, lepak, pergaulan bebas lelaki perempuan dan pelbagai perbuatan salah lain. Maka, wajar sekali kempen antimerokok diperhebatkan.

No comments:

Post a Comment