Monday, 11 December 2017

BUAH PIAH

Pokok piah, tentunya buahnya dipanggil buah piah. Siapa kenal buah piah? Rasanya ramai tidak kenal buah piah dan tentu sekali tidak pernah merasai buah piah.

Penduduk di Kampung Kedai Piah, Ketereh, Kelantan, pun rasanya tidak ramai yang pernah makan buah piah. Bahkan mungkin tidak kenal buah piah yang namanya diambil menjadi nama tempat itu.   

Penulis sendiri kali terakhir melihat dan makan buah piah kira-kira 30 tahun lalu. Memang sukar untuk mendapat buah piah sekarang ini.

Sebelum itu, sekitar tahun 1974-1979, setiap kali pergi atau pulang sekolah, penulis akan melalui tempat di mana ada sepohon pokok piah yang tinggi dan berbuah lebat (penulis tidak ingat sama ada pokok ini buah sepanjang tahun atau bermusim) untuk mencari buah piah yang gugur.

Pada masa itu, peluang hendak makan buah-buahan memang sukar. Maka yang tersedia secara semulajadi menjadi perhatian seperti buah keranji, buah kerian, buah guchil, buah terajam dan lain-lain.

Penulis boleh makan buah aple apabila jiran yang bekerja di Singapura balik membawa buah tangan. Bab kata, nak maka aple setahun sekali pun susah.

Kembali kisah buah piah. Buah piah kulitnya macam ciku, tetapi keras. Cara hendak makan buah piah cukup unik. Buah itu perlu dipukul atau diketuk kepada benda keras. Ada yang melontarnya ke simen atau dinding batu.

Tujuan dilakukan begitu untuk ‘melonggarkan’ isinya dari kulit dan biji. Dengan cara melontar juga isinya akan lebih gebu dan lembut. Jika tidak dibuat demikian isinya akan pejal.

Isinya berwarna kuning. Rasanya kelat-kelat manis dan isi buahnya yang benar-benar masak akan mudah melekat di gigi.

Pokok piah tinggi macam pokok tualang. Jadi, agak sukar untuk dipanjat. Kalau nak makan buah piah kenalah tunggu ia gugur sendiri.

1 comment: