Monday 18 February 2019

MAQASID SYARIAH MENENTUKAN KETETAPAN HUKUM


Ilmu maqasid al-syariah menjadi cabang ilmu yang penting. Istilah lain turut digunakan ialah maqasid syari dan al-maqasid al-syariyyah yang membawa maksud yang sama.

Maqasid berasal daripada perkataan ‘maqsud’ atau ‘maqsad’ yang membawa erti kehendak, matlamat atau tujuan. Manakala perkataan syariah menurut istilah pula membawa maksud apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada manusia, merangkumi pelbagai hukum serta undang-undang’.  

Maka maqasid syariah menjadi sebahagian kaedah dalam menentukan sesuatu ketetapan berkaitan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kehidupan seharian.

Para ulama mutaqaddimin tidak membahaskan definisi maqasid syariah secara jelas dan terperinci. Malah al-Syatibi yang terkenal sebagai pelopor ilmu maqasid pun tidak pernah memberikan definisi tertentu kepadanya.

Boleh dikatakan perbahasan dari segi difinisi maqasid syariah banyak dipelopori ulama pada zaman ini.

Ini tidak pula bemakna ulama dulu mengabaikan maqasid syariah di dalam hukum-hukum yang diijtihad. Penggunaan kaedah maqasid dapat dilihat di dalam karya ulama dulu. 

Umum berpendapat, apa yang dilakukan oleh ulama dulu, menjadi unsur di dalam definisi-definisi yang dikemukakan oleh ulama mutakhir. 

Kita dapati, wujud nilai-nilai maqasid syariah yang terkandung di dalam setiap ijtihad dan hukum-hukum yang dikeluarkan ulama dulu. Ini tidak dapat tidak kerana kerana nilai-nilai maqasid syariah itu sendiri memang telah terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah. 

Maka, sudah pasti biarpun ketika itu tidak dijelaskan bahawa apa yang dilakukan itu bersandarkan kepada kaedah maqasid syariah, tetapi itulah hakikat sebenar yang telah dilakukan ulama dulu. 

No comments:

Post a Comment