Kuih tepung pelita antara
kuih popular di Kelantan. Tidak pasti pula mengapa namanya kuih tepung pelita atau
lebih kerap disebut tepung pelita. Tepung pelita tidak pula nampak seperti atau
iras-iras pelita.
Seperti kebanyakan kuih di Kelantan,
tepung pelita juga tergolong jenis kuih manis. Satu lapisan air gula terdapat di
bahagian bawah bekas yang menjadi 'penentu' kuih itu sedap atau tidak. Lebih tepat
lagi orang memakannya puas atau tidak.
Tepung pelita ada tiga lapis
iaitu di atasnya santan, tepung beras dan air gula. Ia dimasukkan ke dalam bekas
yang diperbuat daripada daun pisang. Bekas itu berbentuk empat segi sama.
Proses membuat bekas adalah paling
rumit. Daun pisang yang digunakan mesti jenis tebal dan tidak mudah koyak. Sebelum
dibentuk menjadi bekas terlebih dahulu perlu dilayur atau dibirkan lembut. Kalau
tidak, daun itu mudah koyak.
Bekas itu disematkan dengan lidi.
Tetapi sekarang ini banyak yang menggunakan besi staples. Jadi, ketika makan kena
beringat jangan besi itu tertanggal dan ditelan bersama.
Untuk lebih mudah sekarang ini
tepung pelita dimasukkan ke dalam bekas plastik. Mudah dan senang untuk dibawa ke
mana-mana.
Namun keaslian bekas menggunakan
daun pisang masih menjadi pilihan pembuat yang mementingkan citarasa pembeli. Ada
pembeli tidak akan membeli tepung pelita jika tidak ada yang dibubuh di dalam bekas
daun pisang.
Aroma daun pisang menjadikan
ia amat unik dan menjadi faktor penarik peminat tepung pelita. Mereka sanggup membayar
lebih untuk mendapatkan tepung pelita di dalam bekas daun pisang.
No comments:
Post a Comment