Menurut portal mirror.co.uk, pasukan saintis melakukan ujian ke atas 125 penunggang amatur berusia antara 55 hingga 79 tahun dan membandingkannya dengan orang dewasa yang sihat dari kumpulan umur yang tidak bersenam secara berkala.
Penemuan menunjukkan bahawa para penunggang basikal memelihara jisim otot dan kekuatan dengan usia sambil mengekalkan tahap lemak serta kolesterol yang stabil.
Lebih menarik lagi, kesan anti-penuaan daripada aktiviti berbasikal turut menguatkan sistem imun.
Satu organ dikenali sebagai thymus yang menghasilkan sel-sel imun dipanggil sel T biasanya mula mengecut selepas usia 20 tahun tetapi organ berkenanan pada penunggang yang lebih tua didapati banyak menjana sel T seperti orang muda.
Pengarah Institut Keradangan dan Penuaan University of Birmingham, Profesor Janet Lord berkata, penemuan tersebut merupakan bukti kukuh yang dapat menggalakkan orang ramai untuk melakukan senaman secara teratur sepanjang hidup mereka untuk kekal sihat.
“Aktiviti berbasikal memberi banyak manfaat kepada kesihatan individu. Tubuh mereka dibenarkan untuk melewati usia dengan lebih optimum, bebas daripada penyakit yang biasanya disebabkan oleh masalah tidak aktif.
“Jika dikeluarkan aktiviti berbasikal itu daripada rutin harian mereka, tahap kesihatan mereka mungkin akan merosot,” jelasnya.
Penunggang basikal lelaki yang mengambil bahagian dalam kajian itu perlu berkayuh sejauh 100 kilometer di bawah 6.5 jam, manakala wanita pula sejauh 60 kilometer dalam masa 5.5 jam.
Kumpulan tidak bersenam terdiri daripada 75 orang yang sihat berusia antara 57 hingga 80 tahun, dan 55 orang dewasa muda berumur antara 20 hingga 36 tahun.
Penyelidikan tersebut dilaporkan dalam dua kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal Aging Cell.
No comments:
Post a Comment