Wednesday, 15 August 2018

Sepatutnya hubungan seks berapa kali seminggu

Sukar menetapkan berapa kali seminggu pasangan suami isteri perlu melakukan hubungan seks untuk kehidupan yang baik. Banyak kajian dibuat menemukan keputusan berbeza. 

Ada mengatakan apabila usia meningkat dan mempunyai anak ramai, kadar kekerapan akan berkurangan. Pendapat lain mengatakan usia bukan faktor mutlak menentukan kadar kekerapan melakukan hubungan seks suami isteri. 

Kadar keupayaan seks lelaki tidak menurun biarpun usia meningkat jika kesihatan dalam keadaan baik. 


Keupayaan seks lelaki berkurangan disebabkan penyakit dan bukan kerana faktor umur. Penyakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan masalah jantung antara punca tenaga lelaki akan berkurangan ataupun tidak mampu berfungsi langsung.  

Setiap pasangan mempunyai pendapat berbeza dalam soal itu. Namun, jangan sekali-kali ambil mudah dalam soal tersebut. Banyak pasangan bercerai disebabkan masalah dalam hubungan seks. Pasangan mengalami tekanan disebab tidak mendapat apa yang diharapkan dalam hubungan seks. Semua itu membunuh kebahagian hidup berkeluarga.  

Jadi, pasangan suami isteri perlu berbincang secara terbuka dalam soal ini.  Nyatakan apa yang sebenarnya diingini. Namun jangan keterlaluan dalam ‘permintaan’ yang mungkin akan menyebabkan pasangan akan rasa tertekan. Sesungguhnya, kesederhanaan itu adalah jalan terbaik.    

Sesungguhnya, Islam telah menetapkan cara terbaik baik bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup mengikut keinginan dan keperluan sebenar, yang membawa kebaikan dan mengelak perkara buruk terutamanya terhadap perempuan.

Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks. Malah Allah mencipta alam ini secara berpasang-pasang, saling melengkap antara satu sama lain.

Firman Allah bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah mencipta pasangan-pasangan semuanya baik dari apa-apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka belum ketahui.” (Surah Yasin, ayat 36). 

Sememangnya Allah menjadikan manusia berpasangan dengan rahmat-Nya.  Namun hubungan itu perlu dilangsungkan mengikut peraturan dan hubungan yang dibenarkan. Manusia perlu sedar bahawa kehidupan di dunia sebagai hamba-Nya perlu mematuhi apa yang diperintahkan. 

Sesungguhnya, Allah mencipta manusia bertujuan untuk menyembah dan beribadat kepda-Nya. Sebagai imbalan, setiap apa yang dilakukan akan diberi pembalasan di akhirat nanti. Justeru, apa-apa yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh diingkari, termasuklah dalam bentuk hubungan lelaki dan perempuan.

Islam menetapkan perkahwinan merupakan hubungan yang halal bagi lelaki dan perempuan memenuhi keperluan hidup berpasangan. Perasaan kasih sayang, kegembiraan dan rasa tanggungjawab adalah pengikat kepada hubungan itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan antara tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu, agar kamu cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Pasangan yang memilih memenuhi tuntutan lahiriah dan batiniah dalam hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan, melakukan kesalahan yang bertentangan dengan normal kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment