Kepincangan
isu yang membabitkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)
semakin ketara dan dilihat sebagai satu ancaman yang merunsingkan.
Secara
dasarnya, perlu difahami bahawa kelakuan golongan LGBT ini merupakan perkara
yang dilarang dalam Islam. Ini kerana ia bercanggah dengan fitrah sehinggakan
ada yang sanggup mengubah ciptaan Allah.
Perlu
ditegaskan, dalam Islam dengan hanya berkelakuan seperti jantina yang berlainan
dari sudut gerak geri termasuk memakai pakaian yang berlawanan jantina pun akan
dilaknat oleh Allah apatah lagi jika melakukan seks songsang serta mengubah
kelamin dengan pembedahan.
Ancaman
ke atas perkara tersebut dapat difahami menerusi kemurkaan Rasulullah SAW
menerusi hadis bermaksud: “Nabi SAW melaknat golongan pondan kalangan lelaki
dan daripada golongan perempuan yang menyerupai lelaki. Baginda SAW bersabda:
Usir mereka dari rumah-rumah kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kecelaruan
kefahaman yang menyamakan antara khunsa dengan golongan transgender adalah satu
kedangkalan. Ini kerana khunsa yang memiliki dua kelamin sejak lahir merupakan
asal kejadian yang berlaku ke atas diri mereka.
Ia berbeza dengan transgender
yang mengubah fitrah asal sehingga ada yang sanggup melakukan pembedahan untuk
mengubah kelamin. Malah dalam permasalahan khunsa,
Islam meletakkan batasan
agar mesti ditetapkan satu jantina sahaja sama ada menerusi kecenderungan
fitrah perilaku atau juga berdasarkan fungsi daripada salah satu alat
kelaminnya sebagaimana perbahasan oleh para ulama terdahulu.
Larangan
mengubah ciptaan Allah ini ditegaskan melalui hadis riwayat Ibnu Masud bahawa
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Allah melaknat pembuat tatu, orang yang meminta
supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, orang yang
menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan dan golongan yang mengubah
ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)
Oleh
itu, pendekatan yang dilakukan mesti diperhalusi dengan baik agar tidak terlalu
longgar sebagaimana tindakan kepimpinan kerajaan persekutuan yang dilihat
memberikan keuntungan dan promosi serta pengiktirafan kepada pergerakan LGBT
yang lebih selesa sekarang.
Secara tidak langsung, ia telah membuka pintu
fitnah dengan memberi ruang kepada mereka mendapat tempat seolah-olah tindakan
mereka adalah benar.
Inilah
kerugian ummah apabila pemimpin umat Islam sendiri secara sedar telah membawa
masuk virus jahiliah dalam kelompok Islam sendiri yang akhirnya merugikan
Islam.
Jika
diteliti kepada perundangan di Malaysia, kelakuan golongan LGBT ini merupakan
satu kesalahan jenayah Syariah yang boleh dikenakan tindakan di Mahkamah
Syariah.
Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa peruntukan khusus
melibatkan transeksual. Contohnya Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah - Wilayah
Persekutuan 1997 (AKJSWP 1997) yang memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan
lelaki berlagak seperti perempuan (pondan) [Seksyen 28], liwat [Seksyen 25]
dan musahaqah (persetubuhan antara perempuan dengan perempuan)
[Seksyen 26].
Malah,
umat Islam di setiap negeri terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh negeri
atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini,
pada tahun 1983 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah
haram pada pandangan syarak.
Oleh yang demikian, maka dengan sendirinya jika
seseorang itu cuba untuk melakukan pertukaran jantina, perbuatan tersebut
adalah haram dan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar fatwa yang telah
diwartakan. [Seksyen 12 AKJSWP 1997].
Dalam
hal ini, golongan LGBT boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu aktivis dan
ahli biasa.
Aktivis ialah mereka yang bertindak secara terang-terangan dan
mempromosikan kelakuan ini di samping memperjuangkan tuntutan LGBT yang mereka
mahukan. Adapun ahli biasa adalah mereka yang berada dalam dunia mereka sahaja
tanpa ekstrim mempromosi aktiviti songsang mereka.
Memberi
ruang kepada aktivis LGBT adalah satu tindakan yang tidak tepat malah merugikan
Islam. Sedangkan dalam hal ehwal agama Islam, apabila ada golongan yang
mempermainkan serta memperlekehkan agama, umat Islam dilarang berada dengan
kelompok mereka.
Kelompok LGBT yang bergerak secara organisasi dan membuat
promosi murahan di media sosial adalah bercanggah dengan Syariat Islam.
Pemimpin
dan umat Islam mesti bertegas dalam hal ini sebagaimana pendekatan yang diambil
oleh Khalifah Umar Abdul Aziz ke atas seorang yang turut serta dalam majlis
maksiat yang dihidangi arak tanpa dia melakukan apa-apa pencegahan kemungkaran.
Firman
Allah SWT: “Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu
(perintah-Nya) di dalam Al-Quran, iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat
keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul)
dengan mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya
(jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.
Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di
dalam neraka jahannam.” (Surah an-Nisa, ayat 140)
Kini,
LGBT dilihat sebagai pergerakan yang tersusun dan ianya merupakan satu ancaman
ke atas masyarakat dan sosial yang mesti dicegah dan dihentikan. Semua pihak
mesti bertegas dalam kesepakatan ini bahawa perbuatan mereka adalah dilarang
oleh agama.
Dengan
perundangan yang sedia ada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, tindakan
tegas wajib diambil ke atas aktivis LGBT yang terang-terangan mempromosi
kelakuan songsang mereka bagi mengelakkan ianya mempengaruhi masyarakat umum.
Bagi
mereka yang terjebak dengan LGBT tanpa menjadi aktivis dinasihatkan untuk
tampil mendapatkan khidmat kaunseling dan nasihat agama dalam menyelesaikan
kekeliruan yang menyebabkan mereka mengalami masalah kecelaruan identiti.
Pihak
yang berwajib dan para pendakwah juga hendaklah meneruskan kerja-kerja dakwah
menyeru golongan ini agar kembali kepada fitrah asal.
Tidak
wajar sebarang ruang diberikan kepada aktivis LGBT ini dalam semua perkara yang
diperjuangkan oleh mereka.
Pihak kerajaan mesti menutup ruang perjuangan mereka
dan mengambil tidakan yang tegas bagi mempastikan agenda jahiliah ini tidak
menular dan mendapat sambutan pihak yang berkepentingan.
No comments:
Post a Comment