Umum
mengetahui, bilangan ahli parlimen bukan Islam di blok kerajaan lebih ramai
berbanding beragama Islam. Keadaan ini memberi petanda kedudukan kepentingan
Islam akan kurang diberi perhatian. Suara ahli parlimen Islam di blok kerajaan
tidak lagi mendapat majoriti.
Kita
sedar, jika sesuatu perkara yang berkaitan kepentingan Islam dibawa ke sidang
parlimen, sudah tentu ahli parlimen Islam di blok pembangkang juga akan mengundi
menyokong. Namun, sesuatu yang dibawa oleh kerajaan akan mengambil kira
persetujuan di peringkat kerajaan terlebih dahulu. Jadi, bagaimana hendak
mendapat sokongan di peringkat kerajaan jika majoriti ahli parlimennya terdiri
bukan Islam?
Di
sinilah perlunya kesedaran seluruh ahli parlimen Islam dan umat Islam untuk
memperjuangkan kedudukan Islam. Kita tidak perlu bimbang tentang apa yang
kerajaan akan buat kerana tidak akan ada sesuatu perkara buruk yang ketara akan
dilakukan. Ini kerana, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam
sebagai Agama Persekutuan.
Sebaliknya,
umat Islam perlu memikirkan apakah tindakan yang perlu dilakukan dan muhasabah
diri apakah yang telah dilakukan. Kelemahan dan kecelaruan Islam bukan
disebabkan usaha bukan Islam, sebaliknya kelemahan umat Islam sendiri.
Sikap
mementingkan kelompok, berselisish dalam soal kecil, hilang jati diri dan
lemahnya takwa menjadi punca Islam berdepan situasi sekarang. Islam di Malaysia
tidak akan lemah jika seluruh umatnya bersatu dalam soal kepentingan Islam.
Jangan tunduk dan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kesatuan Islam
lemah.
Namun
persaudaraan dalam Islam sekadar slogan. Orang Islam berpecah dan lemah kerana
ingin berebut kepentingan sendiri. Kelemahan sendiri tidak diaudit, sebaliknya
kelemahan orang lain yang diperbesar-besarkan.
Akibatnya
umat Islam dalam keadaan lemah dan berpecah. Mudahlah pihak bukan Islam
mengambil kesempatan. Maka itu, pendokong LGBT, sekular, liberal dan missionari
Kristian budah menjalankan agenda mereka. Dalam keadaan umat Islam sendiri
lemah, apa yang mampu dilakukan untuk mempertahankan Islam.
Ideologi
dan agenda Islam bukan sekadar menanti kuasa politik untuk melaksanakannya
walaupun tidak dinafikan kuasa politik amat penting. Mengapa di pihak bukan
Islam boleh mara ke hadapan sedangkan mereka tidak mendapat kedudukan
istimewaan dalam Perlembagaan Persekutuan bahkan terdapat sekatan untuk mereka
mengembangkan agama mereka kepada orang Islam.
Lalu
kita perlu muhasabah diri. Pernahkah kita betul-betul berjuang untuk Islam? Atau
adakah kita berjuang atas nama parti dan pemimpin tertentu? Apabila pemimpin telah
meninggal dunia atau bertukar parti, lalu kita tidak lagi bersama parti yang didokong
selama ini untuk memperjuangkan Islam.
Atau
jika bertukar parti atau mengikut pemimpin tertentu kerana memperjuangkan Islam,
adakah kita sedar keupayaan parti atau pemimpin itu berjuang untuk Islam? Atau adakah
perjuangan selama ini semata-mata untuk kedudukan dan harta?
Sekali
lagi ditegaskan, kita tidak boleh marah atau bertindak ketelaluan untuk mengelak
fahaman pihak lain. Setiap pergerakan dan agama memiliki ideologi dan agenda
mereka yang tersendiri dan cuba mengamalkan serta menyebarkan ideologi
pergerakan dan agama mereka.
Memang
ada halangan dari segi Perlembagaan untuk mereka melakukan perbuatan itu, tetapi
umat Islam tidak boleh sekadar mengharapkan kedudukan istimewa itu. Disebabkan peruntukan
Perlembagaan itu majoriti Muslim masih berada di zon selesa mengharapkan
undang-undang untuk melindungi akidah mereka.
Agenda
Islam yang paling utama adalah tauhid dan bukannya sekadar hukum-hakam
semata-mata. Keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, amanah dan
keamanan adalah nilai Islam.
Kita
perlu lebih risau Muslim yang membentuk 61% penduduk di Malaysia masih berada
di zon selesa dan beralasan. Malah, pernahkah kita mengaudit kekuatan pegangan akidah
di kalangan Islam di Malaysia dalam kesediaan untuk mempertahankan Islam.
Apa
yang kita lihat sekarang ini nilai-nilai sebagai seorang muslim semakin terhakis.
Ramai hari ini muslim hanya pada nama sahaja dan gagal untuk mengamalkan kehidupan
sebagai muslim.
Marilah
kita sama-sama bermuhasabah diri dan semoga hati kita semua tergerak untuk
sama-sama menyumbang baik menerusi masa, tenaga, bakat dan harta untuk
menyebarkan ideologi dan agenda Islam.
No comments:
Post a Comment