Monday, 20 August 2018

Jaga kepentingan kedudukan kuasa Melayu

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya. Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu. Banjar juga disebut Melayu. Minangkabau memang Melayu. Keturunan Aceh adalah Melayu. Jakun dan Sakai asli Melayu. Arab dan Pakistani, semua Melayu. Mamak dan Malbari serap ke Melayu. Malah mualaf bertakrif Melayu.

Dari petikan rangkap puisi tersebut, penulisnya Allahyarham Usman Awang telah memberi satu takrifan tentang siapa itu Melayu yang disusunnya dalam baris-baris ayat yang cukup indah.

Takrifan sasterawan agung ini juga sebenarnya tidak lari dengan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung maksud Melayu. 

Justeru tidak ada polemik yang harus dipanjangkan tentang takrifan Melayu kerana sesiapa yang beragama Islam di negara ini juga merupakan Melayu dalam konteks yang luas.

Namun sedihnya, masih ada lagi yang keliru apabila menyentuh soal Melayu hinggakan sesetengahnya menganggap perbincangan berhubung Melayu adalah suatu asabiah sempit. Justeru dapat dilihat bagaimana suara-suara ke arah penyatuan Melayu masih tidak disambut dengan satu keghairahan yang diharapkan.

Justeru mengapa ada suara-suara sinis mempertikaikan kepada usaha-usaha penyatuan umat Melayu. 

Golongan ini mempersoalkan mengapa perpaduan Melayu, dan bukan perpaduan Islam? Sebenarnya Islam sebagai agama tidak perlu disatukan lagi kerana ia risalah kekal abadi yang dipelihara Allah.

Maka yang perlu kepada perpaduan ialah orang Islam yang berpecah belah dan untuk menghimpunkan seluruh umat Islam di dunia ini tentu di luar keupayaan. Jadi di Malaysia kalau tidak Melayu, siapa lagi yang harus disatukan kerana rebah Melayu maka rebahlah Islam.  

Islam mungkin terjejas di Malaysia jika Melayu selaku pendukungnya rebah. Oleh sebab itu, apa pun halangan daripada orang Melayu sendiri, ia tidak harus menjadi sebab mengapa gerakan penyatuan Melayu tidak boleh diusahakan.

Setidak-tidaknya ia penting untuk meniup kesedaran dan keinsafan bahawa masa sekarang cukup mendesak untuk mempertahankan segala perkara yang membentuk ketuanan Melayu.

Genarasi baru perlu tahu bagaimana perkara-perkara yang menjadi asas ketuanan Melayu terutama agama Islam, hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu kini jelas terancam.

Ancaman terhadap sebenarnya bukan hanya kerana perkembangan politik semasa yang menyaksikan suara-suara menuntut hak sama rata semakin jelas kedengaran. 

Tetapi kelemahan jati diri Melayu itu sendiri antara puncanya sedangkan selama 446 tahun Melayu dijajah tidak ada pun umat terdahulu menganut Kristian atau bangga bertutur dalam bahasa penjajah berbanding sekarang.

Biarpun wujudnya ancaman globalisasi yang menghakis kemelayuan, namun dalam masa yang sama tidak ada sesiapa boleh menidakkan bahawa perkembangan selepas pilihan raya lalu adalah ancaman terdekat yang mampu meruntuhkan ketuanan Melayu.

Jika tidak dilakukan sesuatu, tidak mustahil ketuanan Melayu di negara yang Melayu sendiri adalah penduduk asalnya, akan lenyap. Sehubungan itu,semua pemimpin Melayu Islam bermuzakarah secara tertutup dan bijaksana harus diberi perhatian serius.

Ini kerana yang tinggal pada Melayu kini hanyalah kekuasaan politik biarpun ia semakin terhakis. Maka inilah amanah terpenting yang dipikul pemimpin politik Melayu sekarang bahawa mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kelangsungan ketuanan Melayu di negara ini.

Sesungguhnya, masa depan Melayu bergantung ke mana arah tuju yang dibawa oleh pemimpin kerana akar umbi hanyalah ibarat gerabak.

Untuk membawa ke jalan yang sepatutnya, maka pemimpin politik Melayu harus sepakat pada perkara-perkara pokok membabitkan kepentingan bangsa. Tetapi mencari kesepakatan ini hanya boleh dilakukan jika ada muzakarah.

Oleh itu, perbezaan ideologi harus diketepikan dan sebaliknya secara berlapang dada menyahut seruan penyatuan dengan mengikis sebarang rasa bimbang tidak mendapat sokongan pengundi bukan Melayu kerana yang mustahak adalah memelihara kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Pemimpin Melayu harus tahu jangan berpolitik 'hingga menang sorak kampung tergadai'.

No comments:

Post a Comment