Seluruh bangsa Melayu perlu sedar akan kepentingan bangsanya dan
masa depan anak cucunya. Tiada ertinya ada kelompok Melayu mendapat kuasa,
sedangkan majoriti nasib bangsanya menjadi lebih buruk. Kekayaan negara ini
bukan untuk satu kelompok Melayu sahaja, tetapi seluruhnya bangsa Melayu,
termasuk kaum lain dikongsi bersama.
Tidak patut timbul isu rasis apabila memperjuangkan kepentingan
bangsa sendiri. Itu perkara semulajadi. Bangsa lain juga memperjuangkan
kepentingan kaum mereka. Selagi perkara itu tidak bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan, maka perkara itu tidak boleh ditegah atau dihalang.
Bangsa Melayu perlu duduk berbincang untuk mencari formula terbaik
menjadikan bangsa Melayu lebih berdaulat. Perkara ini pernah dilakukan pada
1946 ketika kuasa raja-raja Melayu ingin dirampas sepenuhya.
Mana-mana persetujuan atau keputusan perbincangan yang berkaitan mempertahankan
ketuanan Melayu adalah sesuatu yang perlu disambut dengan semangat baru dan
komitmen yang lebih jitu.
Ketuanan dan kedaulatan adalah sesuatu yang sangat berkait kerana
bangsa yang berdaulat juga hendaklah benar-benar menjadi tuan di negaranya
sendiri. Walaupun ada pihak termasuk orang Melayu sendiri kebelakangan ini
mempersendakan makna ketuanan itu, ternyata banyak pihak yang masih jahil dan
bebal dengan mentafsirkan ketuanan itu dengan mengandaikan Melayu ingin menjadi
golongan yang angkuh sebagai tuan dan orang lain sebagai hamba.
Perumpamaan sempit ini seolah-olah menyamakan sikap angkuh orang
kaya dengan miskin atau majikan dengan 'kuli' mereka. Amat sedih apabila ada di
kalangan orang Melayu sendiri yang mempunyai pemikiran sempit sedemikian.
Justeru perhimpunan Melayu hendaklah serius mencari formula
bagaimana bangsa Melayu terus diperkasa supaya ketuanan dan kedaulatan yang
dimaksudkan sebenar dapat dicapai dan dilaksanakan dengan segera.
Ketuanan bererti menguasai segala aspek termasuk pemerintahan,
ekonomi, pendidikan dan keselamatan bangsa. Namun begitu, segala tindakan
tersebut adalah bersandarkan realiti bahawa Melayu di Malaysia perlu hidup aman
dan harmoni dengan kaum-kaum lain iaitu kepentingan-kepentingan kaum mereka
juga terpelihara.
Dalam hal ini, Melayu telah membuktikan kehebatannya menerajui
sebuah negara yang berbilang kaum dengan nilai toleransi yang cukup besar
terutama selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Oleh itu, bangsa Melayu juga harus meyakinkan kaum lain bahawa
mereka juga telah menikmati pelbagai faedah dan keuntungan yang berlipat kali
ganda apabila hak-hak keistimewaan Melayu itu dilaksanakan.
Mungkin boleh difikirkan secara serius sebuah platform gabungan
NGO yang menjadi majlis pemuafakatan dan hal ehwal kepentingan Melayu. Majlis
ini berperanan untuk menjadi badan pemantau dan pendesak yang menjaga
kepentingan, pengimbang dan penilai prestasi serta pencapaian orang Melayu.
Penglibatan institusi raja-raja Melayu, pemimpin politik pelbagai
aliran dan tokoh-tokoh Melayu yang seimbang usia dan pemikiran mereka hendaklah
disatukan dan dimanfaatkan.
No comments:
Post a Comment