Tuesday, 21 August 2018

Pemimpin perlu mendapat sokongan kuat ahli

Mencari pemimpin kuat. Dengan kepimpinan yang kuat, ia akan membantu organisasi untuk bergerak ke hadapan. Pemimpin yang kuat ialah mereka yang mendapat sokongan akar umbi. Maknanya mereka mendapat sokongan dalam apa juga keadaan.

Sememangnya sokongan akar umbi adalah penting kerana ia menjadi tunjang kekuatan bagi seseorang pemimpin itu. Tetapi untuk mendapat sokongan akar umbi bukanlah mudah.

Pemimpin itu perlu benar-benar berjiwa rakyat dan sentiasa mementingkan suara akar umbi, biarpun apa juga jawatan yang disandangnya.

Apabila berada pada kedudukan yang tinggi dalam organisasi, seseorang pemimpin itu sudah merasakan dia sudah kuat sehingga suara-suara akar umbi tidak dipedulikan. Lebih malang, langkah atau tindakan yang dilakukan lebih banyak didorong oleh nasihat atau cadangan orang sekeliling dan bukannya mendengar apa kata akar umbi.

Kesudahannya ahli menjadi bosan dan mereka menghukum pemimpin itu dalam pemilihan dan apabila itu berlaku barulah, kita hendak bercakap soal mendengar suara akar umbi.

Ahli-ahli akar umbi ini harus dibenarkan untuk meluahkan apa sahaja perasaan demi kebaikan organisasi kerana mereka juga turut berasa malu dengan apa yang terjadi.

Sindrom tidak boleh bercakap atau tidak dibenarkan bercakap harus dihapuskan. Dalam usaha mewujudkan kepimpinan yang kuat memerlukan ketelusan yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan, bukan retorik. Melalui pendekatan bersikap terbuka untuk mendengar luahan di peringkat akar umbi, ia sudah pasti akan membantu memperbaiki kelemahan.  

Pemimpin-pemimpin tidak harus cuba menyembunyikan fakta. Kalau kepimpinan yang kuat itu hendak diwujudkan, tindakan mendengar keluhan rakyat di peringkat bawah adalah penting.

Negara perlu berusaha untuk mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat ketika sedang berhadapan dengan cabaran yang getir. Jika negara terus memiliki barisan kepimpinan yang lemah dan dilihat tidak mempunyai cengkaman bagi mengawal apa juga situasi termasuklah tuntutan-tuntutan melampau kaum-kaum lain, ia boleh meletakkan orang Melayu dalam keadaan bahaya.

Pemimpin harus berani dan pemimpin harus kuat untuk berhadapan dengan situasi itu. Jangan sampai dilihat terus lemah sehingga ia memberi kesempatan kepada orang lain untuk memijak Melayu.  

Pemimpin yang dipilih perlu berdasarkan kepada rekod perkhidmatan dan pengalaman. Jika pemimpin dipilih menggunakan laluan ekspres ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana. Pemimpin yang bakal dipilih biarlah pemimpin yang menggunakan 'tiket henti-henti', maknanya bermula dari bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat di peringkat bawah.

Begitu juga jika memilih pemimpin yang dilihat proksi kepada mana-mana pemimpin. Ini juga boleh membawa kehancuran kepada negara. Apa yang penting kena pilih pemimpin yang memahami sentimen rakyat.

Mereka tidak harus menganggap seseorang pemimpin itu kuat hanya semata-mata kerana dia mempunyai hubungan atau berada dalam satu kem dengan pemimpin tertentu.

No comments:

Post a Comment