Wednesday, 24 October 2018

PENIAGA JUJUR BERSAMA PARA NABI DI SYURGA

Allah menjadikan manusia bukan sekadar menikmati kehidupan seperti haiwan yang sekadar memenuhi keperluan jasmani dan nafsu. Sebaliknya, manusia adalah khalifah yang perlu melakukan amanah kehidupan sepertimana ditetapkan Allah sebagai satu ujian.

Firman Allah bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan Dia mengangkat darjat sebahagian kamu ke atas sebahagian yang lain, untuk menguji kamu mengenai apa yang Dia berikan kepada kamu, sesungguhnya Tuhan-mu itu amat cepat seksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” - (Surah al-Anam, ayat 165). 

Pemilihan manusia sebagai khalifah adalah penghormatan paling besar. Malikat dan iblis yang sentiasa patuh dan beribadat kepada Allah tidak dipilih kerana tugas itu tidak sesuai untuk tabie kejadiaan kedua-dua makhluk itu.

Akibat terlalu inginkan jawatan khalifah di muka bumi, iblis sanggup membantah keputusan Allah dan enggan sujud kepada Adam. Lanjutan sikap itu iblis menjadi menjadi hamba yang kufur dan mengiystiharkan manusia sebagai musuhnya sepanjang masa.

Firman Allah bermaksud: “Dan ketika Kami perintahkan kepada para malaikat, sujudlah kalian kepada Adam! Lalu mereka pun sujudlah semua kecuali iblis.” - (Surah al-Baqarah, ayat 34).

Mencari rezeki adalah tuntutan agama yang menjadi sebahagian tugas memakmurkan muka bumi. Banyak cara mencari rezeki seperti berniaga, bercucuk tanam, menternak haiwan, menyediakan perkhidmatan dan bekerja dengan pihak lain.

Apa pun cara mencari rezeki, setiap orang perlu mengutamakan kejujuran semasa bekerja. Kejujuran adalah lambang keimanan dan ketakwaan. Sebab itu orang jujur sentiasa mendapat tempat terbaik di sisi Allah. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Peniaga yang jujur itu bersama para nabi, para siddiqin, dan para syuhada nanti di syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). 

Walaupun hadis itu menyebut mengenai peniaga yang jujur, tetapi ia juga merujuk kepada semua jenis tugas pekerjaan yang dilakukan. Semua jenis pekerjaan terdedah kepada ketidakjujuran, perbezaan mungkin hanya dari segi tahap dan kemungkinan berlaku ketidakjujuran itu.  

Ketidakjujuran banyak berlaku dalam urusan perniagaan seperti mengurangi timbangan dan sukatan, barangan tidak bermutu dan harga yang tinggi. Bagi yang berurusan dengan perkhidmatan pula sering berdepan dengan mutu perkhidmatan tidak seperti dijanjikan.

Untuk memastikan segala urusan pekerjaan berlangsung dengan baik, setiap Muslim perlu memahami hubungan rezeki diperoleh dengan kerja dilakukan. 

Rezeki yang diperoleh secara ketidakjujuran adalah haram di sisi agama, membawa manusia hidup dalam kemurkaan Allah.   

Sesiapa yang memakan makanan daripada sumber wang haram, maka tidak akan diterima amalan kebaikan dilakukannya dan di akhirat nanti ditempatkan dalam neraka. 
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” - (Hadis riwayat Tarmizi).

Akibat memperoleh sumber rezeki yang haram, maka kehidupan individu terbabit akan dibelenggu masalah yang berterusan, walaupun mempunyai wang yang banyak. Apa-apa yang diusahakan tidak akan memperoleh kejayaan seperti diharapkan dan kehidupan keluarga tidak menikmati kegembiraan. 

Rezeki haram yang diberi makan kepada anak menyebabkan kegelapan hati dan hilang perasaan kasih sayang. Sebab itu, sering berlaku kes anak tidak menghormati ibu bapa. Kemewahan hidup yang dimiliki bukannya membawa kebahagiaan, sebaliknya punca malapetaka hidup dalam keluarga. 

Oleh yang demikian , soal mendapat rezeki yang halal bukan perkara remeh. Setiap Muslim wajib bekerja dengan jujur bagi memastikan setiap sen diperoleh adalah halal dan bersih. 
 
Keberkatan hidup bergantung kepada apa yang kita usahakan dalam hal mencari rezeki dan hubungan sesama manusia, selain mementingkan tugas mengabdikan diri kepada Allah.   

Soal mutu kerja yang dilakukan merupakan antara penentu rezeki yang halal. Sebagai pekerja yang mendapat gaji atau upah, tertakluk kepada peraturan tugas bagi memastikan mutu kerja yang memuaskan seperti diamanahkan. 
 
Pekerja yang melanggar peraturan kerja bermakna tidak jujur terhadap tugas yang dipertanggungjawab terhadapnya. 

Setiap pekerja perlu menanam azam, iltizam, penguasaan ilmu dan kemahiran yang tinggi untuk mencapai tahap cemerlang.   

Perlaksanaan tugas yang cemerlang dan cekap adalah keperluan dalam setiap tugas dilakukan. Ia bukan sekadar melaksanakan tugas, tetapi adalah amanah yang dipersoalkan di akhirat nanti. Islam tidak bertolak ansur dalam soal kecemerlangan dan kesempurnaan melaksankan tugas oleh pekerja. 

Setiap pekerja perlu sentiasa komited melakukan tugas agar menepati piawaian yang telah ditetapkan. Pekerja yang melakukan tugasnya dengan tekun bukan saja disukai pegawai atasan atau majikan, tetapi lebih-lebih lagi di sisi Allah.  Siapakah lebih baik kedudukan jika dia dikasihi Allah.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang apabila melakukan satu kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.”  (Hadis riwayat Baihaqi).  

No comments:

Post a Comment