Allah
tidak menurunkan rezeki jatuh dari langit, atau keluar dari perut bumi tanpa
seseorang berusaha mendapatkannya. Sebab itu, setiap individu wajib mencari
rezeki untuk keperluan hidupnya. Allah telah mencipta alam ini untuk kemudahan
manusia mencari keperluan hidup.
Selain
mencari rezeki untuk keperluan diri sendiri, individu yang memegang
tanggungjawab sebagai bapa, ibu atau bertanggungjawab terhadap individu lain,
juga bertanggungjawab mencari rezeki untuk orang bawah tanggunggannya.
Tanggungjawab
mencari rezeki untuk diri sendiri adalah apabila seseorang mula boleh berdikari.
Individu yang telah mencapai usia mampu bekerja (dalam konteks undang-undang di
negara kita usia 18 tahun dan ke atas dikira layak bekerja) perlu bekerja.
Bahkan,
jika telah meninggalkan alam persekolahan lebih awal, perlu terus bekerja
mengikut kesesuaian kelulusan dan tenaga. Remaja yang bekerja awal dapat
mengelak diri mempersiakan masa dan terjebak aktiviti tidak sihat.
Bagi
keluarga miskin sudah tentu amat mengharapkan bantuan daripada anak yang telah
dewasa untuk menanggung sebahagian keperluan sara hidup keluarga. Peluang itu
perlu dimanfaatkan sebelum mempunyai keluarga sendiri yang perlu
diuruskan.
Allah
menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi anak yang membantu meringankan
beban hidup ibu bapa dan ahli keluarga. Pengorbanan mereka dibalas dengan
kehidupan yang bahagia di akhirat.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya
supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya,
serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui
Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” (Hadis riwayat
Thabrani).
Usaha
mencari rezeki tidak sekadar untuk memenuhi keperluan asas hidup. Islam
menggalakkan umat agar mencari kekayaan melebihi apa yang diperlukan. Tiada had
ditetapkan untuk mencari kekayaan dan kemewahan hidup.
Kekayaan
dan kesenangan hidup di dunia merupakan anugerah Allah kepada seluruh hamba-Nya
yang perlu direbut. Usaha mencari rezeki hendaklah diutamakan, tetapi tidak pula
sehingga mencuaikan ibadat khusus seperti solat dan puasa.
Firman
Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan
kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu
lupa akan habuan kamu di akhirat.” (Surah al-Qashash, ayat 77).
Islam
memerlukan banyak penganutnya yang kaya dan berjaya membangunkan ekonomi
umatnya. Kejayaan itu amat bermakna untuk dikongsi bersama bagi kesejahteraan
ummah. Golongan kaya diharapkan dapat membantu golongan fakir dan miskin
menikmati kehidupan lebih baik.
Bantuan
golongan kaya kepada golongan miskin bukan sekadar dalam bentuk zakat dan
sedekah. Apa yang lebih penting ialah menyediakan peluang pekerjaan yang dapat
menjana pendapatan secara berterusan. Seperti kata pepatah, jika ingin membantu
seseorang, berikan kepadanya pancing agar dia mampu mencari sendiri ikan yang
diperlukannya secara berterusan.
Sekarang
ini, penganut Islam terpaksa bergantung peluang pekerjaan dengan syarikat milik
bukan Islam. Bekerja dengan bukan Islam tidak ditegah oleh agama. Tetapi,
tentulah lebih elok jika orang Islam dapat bekerja dengan pengusaha Islam.
Disebabkan
umat Islam tidak mampu menyediakan sepenuhnya keperluan orang Islam, banyak
keperluan asas terpaksa diperoleh daripada pengusaha bukan Islam. Sepatutnya,
umat Islam perlu berusaha memenuhi kerperluan umat Islam sebagai memenuhi
tuntutan fardu kifayah.
Contohnya
dalam soal penyediaan bahan makanan. Orang Islam terpaksa mendapat makanan
dihasilkan di kilang atau kedai makan peniaga bukan Islam. Akibat itu sering
berlaku makanan yang dihasilkan adalah tidak halal, sama ada bahan tidak halal
atau cara sembelihan yang tidak mengikut syariat.
Untuk
mengatasi masalah ini memerlukan kesungguhan setiap orang Islam berusaha
melakukan aktiviti ekonomi dan pekerjaan. Kitaran ekonomi melibatkan sesama
umat Islam perlu ditingkatkan untuk meningkatkan keuntungan bersama.
Usaha
ke arah ini termasuk dalam fardu kifayah untuk kepentingan umat Islam. Dalam
era globalisasi sekarang ini amat mementing kekuasaan ekonomi untuk terus
berkuasa dan mengelak dari menjadi mangsa kepada kerakusan pihak lain.
Sebab
itu, setiap individu Muslim perlu merebut setiap peluang pekerjaan yang ada.
Sikap remaja dan belia melepaskan peluang bekerja dengan alasan ingin enjoy merugikan
diri sendiri. Bekerja sebenarnya juga mendatangkan kepuasan jika dilakukan
dengan ikhlas dan bersemangat.
Islam
melarang membazirkan usia tanpa melakukan sesuatu yang mendatangkan manfaat
untuk diri, keluarga dan agama. Masa yang tidak dimanfaatkan adalah umpama
pedang yang akan mencederakan diri sendiri.
Masyarakat
tanpa amalan disiplin dan cita-cita yang tinggi pasti akan menghadapi krisis
kemanusiaan yang mempersia-siakan sumber kebaikan yang tersedia. Sebab itu,
proses membina dan memperkayakan modal insan penting dilakukan agar potensi
dalaman dapat dijana menghasilkan sesuatu yang bernilai.
Sebab
itu, Rasulullah pernah mengingatkan belia agar menggunakan kesempatan umur muda
sebelum sampai umur tua. Banyak kelebihan yang dimiliki individu dalam kategori
umur muda. Paling ketara ialah tenaga masih kuat, bersemangat dan tahan
cabaran.
Setiap
usaha memerlukan masa panjang untuk berjaya. Bermula lebih awal memberi lebih
banyak peluang untuk berjaya. Sebab itu, usia muda amat elok memulakan alam
pekerjaan dan seterusnya mencapai kejayaan apabila usia semakin meningkat.
Sekarang
tidak dinafikan agak sukar untuk mendapat pekerjaan agak baik sepertimana yang
diharapkan. Didapati banyak graduan tidak mendapat pekerjaan selayaknya mengikut
kelayakan atau kelulusan. Justeru mereka terpaksa memilih pekerjaan di
peringkat bawah.
Sebenarnya
peluang bekerja daripada peringkat bawah adalah satu pengalaman yang amat
berharga. Pengalaman bekerja daripada peringkat bawah banyak membantu untuk
menjadi pengurus dan pentadbir yang baik.
Sekarang
ini peluang perkerjaan terbuka luas, asalkan tidak terlalu memilih pekerjaan.
Negara masih mengalami kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor. Belia
pencari kerja mesti mencari peluang dalam bidang yang masih kekurangan tenaga
kerja.
Sumbangan
pekerja dalam apa juga bidang amat bererti kepada negara. Perkara yang paling
penting difikirkan ialah mempunyai pekerjaan yang mampu menyara hidup diri
sendiri dan keluarga tanpa perlu memikirkan taraf pekerjaan itu.
Allah
tidak memandang apakah jenis pekerjaan seseorang itu. Apa yang penting usaha
dilakukan secara halal dan memberikan kebaikan. Usaha yang baik memberi nilai
kehidupan yang menepati kehendak syariat.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik
daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya
Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat
Bukhari).
Berusahalah
membentuk sikap dan pemikiran bahawa bekerja itu satu jihad dan ibadah. Jangan
lepaskan peluang untuk meningkatkan kedudukan di sisi Allah dengan cara banyak
melakukan kerja. Setiap detik masa melakukan perkerjaan yang baik adalah
dibalaskan seperti pahala berjihad.
Kesimpulannya,
boleh dikatakan semangat berkerja dan mencari kebaikan di dunia ini mempunyai
kaitan yang rapat dengan semangat pengabdian manusia sepenuhnya kepada Maha
Pencipta.
Islam
menetapkan polisi bahawa setiap yang mendatangkan kebaikan dan diniatkan
mencari keredaan Allah itu adalah ibadat. Justeru, sesiapa bekerja dengan
ikhlas memenuhi tuntutan agama, dia beroleh keuntungan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment