Melaksanakan
amanah samalah menunaikan janji yang wajib ditunaikan berdasarkan perjanjian
menyerah tugas oleh majikan dan penerimaan tugas oleh pekerja.
Pihak
yang melantik pekerja telah memilih calon terbaik untuk melaksanakan sesuatu
tugas. Calon terpilih itu mungkin daripada beribu-ribu calon lain yang turut
memohon. Dengan kata lain, pemilihan calon itu ialah dengan satu harapan dia
dapat menjadi pekerja terbaik.
Firman
Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang
berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara
manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.” - (Surah an-Nisa, ayat 58).
Malah,
calon pekerja juga secara konseptual juga telah bersedia menerima tanggungjawab
sebagai pekerja. Dia memohon jawatan itu, sudah tentu bersedia untuk
melaksanakan tugas yang terbaik. Pekerjaan itu adalah pilihannya, jadi kenalah
membuktikan dia sukakan tugas itu.
Tetapi,
ramai yang memohon kerja sebenarnya bukan hendak bekerja, tetapi mengharapkan
gaji. Inilah punca ramai pekerja apabila
bekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna. Sesiapa menerima amanah,
sedangkan tidak mempunyai kesediaan untuk melakukan yang terbaik, maka padanya
ada tanda-tanda sifat munafik.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda munafik itu tiga perkara, pertama apabila
seseorang itu bercakap dia sentiasa berbohong, apabila berjanji tidak pernah
ditunaikan dan apabila diamanahkan dia khianati.” - (Hadis riwayat Bukhari,
Muslim, Tarmizi dan Nasai).
Jelas
sekali pentingnya menunaikan amanah sebagai satu cara hidup seorang Islam. Setiap pekerja tertakluk kepada peraturan
kerja yang ditetapkan oleh majikan. Gaji
yang ditetapkan untuk setiap bulan adalah setimpal dengan tugas yang
diamanahkan.
Perlaksanaan
tugas dengan sempurna seperti ditetapkan perlu diusahakan bagi memastikan
pendapatan yang diterima benar-benar bersih dan halal. Jika seseorang pekerja
tidak melaksanakan tugas dengan sempurna atau curi tulang, bermakna sebahagian
daripada hasil gajinya tidak halal baginya.
Untuk
mengembalikan keberkatan hasil pendapatan, maka hendaklah setiap pekerja
melakukan tugas seperti mana diamanahkan kepadanya. Sesiapa yang melakukan perkara yang benar
seperti digariskan oleh Islam, pekerjaan
itu dinilai sebagai satu ibadat.
Ketika
ini, terdapat pekerja yang bukan sahaja gagal melaksanakan tugas tetapi turut
melakukan kesalahan menerima rasuah atau pecah amanah. Rasuah ialah perbuatan
sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas
terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang telah, sedang atau akan ditunaikan
dengan cara yang tidak sebenarnya.
Pemberi
rasuah mengharapkan agar kehendaknya ditunaikan seperti diberi keutamaan,
dipercepatkan, diluluskan atau lepaskan daripada dikenakan tindakan, sedangkan
perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku. Manakala, penerima rasuah mendapat
sesuatu balasan yang sepatutnya bukan haknya.
Sebagai
Muslim adalah tidak wajar meletakkan matlamat setiap pekerjaan yang dilakukan
semata-mata untuk keuntungan kebendaan. Sesiapa bekerja semata-mata kerana wang
dan sanggup melakukan perbuatan yang salah juga sama-mata kerana wang,
kehidupannya menempuh kecelakaan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Celakalah orang yang menyembah dinar, celakalah orang
yang menyembah dirham.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ibnu Majah).
Banyak
jabatan penguatkuasa undang-undang gagal berfungsi disebabkan banyak kakitangan yang menerima rasuah. Amalan
rasuah di kalangan sesetengah pekerja menyebabkan sistem tugas ditetapkan
menjadi kucar kacir. Hal ini secara langsung menggagalkan usaha pekerja lain
yang bekerja dengan jujur.
Memberi
dan menerima rasuah bukan sahaja satu dosa, tetapi juga satu perbuatan tidak bermoral
dan tidak bertanggungjawab. Pekerja menerima rasuah layak dipanggil musuh dalam
selimut dan virus perosak. Perbuatan rasuah bukan sahaja dipandang hina oleh
Islam, bahkan dalam semua masyarakat bertamadun.
Penerima
rasuah sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat wang, pangkat dan
kemewahan. Mereka sanggup menggagalkan segala peraturan dan undang-undang
negara, termasuk melakukan perbuatan kerosakan dan membahayakan keselamatan
negara.
Kerosakan
dan kemusnahan di muka bumi berlaku apabila manusia mementingkan diri dan tidak
kisah kepentingan orang lain dan juga perihal lain yang bersangkutan. Sesungguhnya
apa yang menimpa manusia dan seluruh isi dunia adalah berpunca perbuatan
manusia sendiri.
Tidak
ada tempat bagi orang melakukan rasuah, sama ada memberi atau menerima, kecuali
kehinaan di mata manusia dan di sisi Allah.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima
rasuah dalam penghuraian masalah hukum.” - (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan
Ibnu Hibban).
Gejala
rasuah berlaku disebabkan manusia tidak pernah mencapai tahap kepuasan
sepenuhnya, kecuali mereka yang beriman dan bersyukur dengan nikmat hidup yang
dikurniakan Allah. Semakin banyak dan kebaikan diterima, lebih lagi yang
diingini dan diusahakan untuk mendapatkannya.
Dalam
sejarah tamadun manusia, banyak kerajaan atau kuasa besar menjadi lemah dan
seterusnya jatuh kepada kuasa lebih yang lemah disebabkan berleluasanya amalan
rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan dan pentadbiran.
Amalan
rasuah dilaku oleh semua peringkat tidak mengenal pangkat dan kekayaan. Ia
dilakukan mengikut skala tujuan dan kepentingan masing-masing. Nilai rasuah
mungkin hanya beberapa ringgit dan boleh jadi berjuta-juta ringgit. Malah,
orang sanggup menyerahkan maruah diri, bangsa dan negara sebagai subjek
balasan.
Dosa
besar turut ditanggung oleh mana-mana individu yang terlibat dalam urusan
rasuah, yakni sebagai orang tengah, saksi atau tidak menghalang daripada ia
berlaku sedangkan dia mampu melakukannya.
Sesiapa
melakukan kejahatan dan dosa pasti tidak akan terlepas daripada balasan azab
daripada Allah. Allah menegaskan dalam surah al-Ankabut, ayat 4 yang bermaksud:
“Bahkan patutkah orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan
terlepas daripada azab Kami? Amatlah
buruk apa yang mereka hukumkan itu.”
Amalan
rasuah kebiasannya mudah berlaku dalam pentadbiran yang mengamalkan sistem
birokrasi. Sikap dan kurang pengawasan pihak atasan menyebabkan amalan rasuah
berlaku dengan berleluasa.
Banyak
individu pemberi rasuah cuba mengubah tanggapan dengan mengatakan apabila yang
diberikan itu dilakukan dengan ikhlas bagi membalas budi di atas tugas yang
dilakukan. Manakala itu penerima rasuah pula berhujah mengatakan tidak salah menerimanya
kerana ia diberikan dengan ikhlas oleh pemberinya.
Memberi
dan penerima rasuah cuba menipu diri sendiri dengan membuat andaian untuk
melepaskan daripada dikatakan melakukan rasuah. Sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada di dalam diri mereka.
Sesungguhnya
Allah mengetahui setiap apa dilakukan oleh manusia seperti yang disebutkan
dalam firman bermaksud: “Sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami mengetahui
apa yang dibisikkan oleh hatinya. Kami lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya.”
- (Surah Qaaf, ayat 16).
Perbuatan
menerima rasuah atau pecah amanah ketika melaksanakan tugas dianggap
pengkhianat bangsa. Banyak negara menjadi lemah dan muflis disebabkan amalan
rasuah yang berleluasa di kalangan pejawat awam dan juga di sektor yang menjana
kepentingan ekonomi.
Pekerja
yang baik sentiasa menjalankan tugas tanpa mengharapkan ganjaran tambahan,
melainkan apa yang telah ditetapkan kepadanya. Dia bersyukur dapat berkerja,
sedangkan masih ramai yang tidak berpeluang bekerja. Allah akan menambahkan
nikmat-Nya kepada sesiapa yang bersyukur dan sentiasa menjaga amanah.
Seseorang
pekerja yang impikan pendapatan yang lebih, sepatutnya melakukan tindakan yang
betul untuk mencapai hasrat tersebut. Maka amat penting setiap pekerja berlaku
jujur dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Bersyukurlah atas apa-apa dikurniakan Allah dan perlu dijaga dengan
sebaik-baiknya, sesesuaian dengan kedudukan mulia sebagai khalifah di muka
bumi.
No comments:
Post a Comment