Wednesday 24 October 2018

PEMIMPIN MESTI FASIH BERBAHASA MALAYSIA


Pemimpin perlu mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi masing-masing bagi memartabatkan kembali kedudukan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sudah jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan ialah bahasa Melayu.

Adalah tidak patut dan perlu dielakkan sekiranya ada dalam kalangan Menteri Kabinet menggunakan bahasa rojak atau bahasa lain dalam urusan rasmi mereka termasuk sidang media dan kenyataan rasmi mereka.

Perkara ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Kalau menteri tidak fasih berbahasa Melayu, cuba belajar untuk menguasai bahasa kebangsaan itu. Jangan anggap ini perkara mudah dan boleh dipandang ringan.

Diperhatikan beberapa Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sering menggunakan bahasa rojak atau bahasa Inggeris ketika berucap di majlis rasmi kerajaan dan sidang media.

Semua menteri tertakluk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki mereka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan rasmi.

Perkara 152 (6) mentakrifkan 'maksud rasmi' ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Perkara 152 (1a) yang mana tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain.

Sebagai menteri, semua tertakluk kepada Perkara 160 yang mana semua menteri adalah pihak berkuasa awam yang juga tertakluk kepada perkara 152 (6).
Semua menteri perlu faham bahasa tugas mereka tertakluk kepada payung perlembagaan.

Kita sedar ada ruang dalam Perkara 152 yang memperuntukkan tiada larangan dan halangan untuk menggunakan selain bahasa Melayu, namun melihat kepada Perkara 152 (6), hal rasmi mestilah dalam bahasa kebangsaan.

Kita tidak mahu negara ini menjadi seperti negara jiran Singapura yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan, tetapi dalam urusan pentadbiran menggunakan bahasa lain.

Kita tidak mahu perkara ini terjadi di Malaysia. Kita sepatutnya mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bukannya ingkar kepada kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam rukun negara.

No comments:

Post a Comment