Friday, 15 February 2019

UBI KAYU MENU DIET SIHAT

Kalau sebut ubi kayu pasti tersingkap lembaran sejarah di saat kedatangan tentera Jepun dalam perang dunia kedua. Orang-orang di Tanah Melayu sukar mendapat makanan dan semuanya makan ubi kayu. 

Bagi generasi selepas merdeka mungkin tidak melaluinya. Kenangan itu sering disebut-sebut oleh ibubapa kita maka ramai yang tahu ubi kayu sebagai makanan era perang. 

Anak-anak zaman sekarang kalau sebut ubi kayu semuanya geleng kepala. Kalau ubi rebus semua mencebikkan bibir apalagi orang bandar mereka lebih gemar pizza hut atau kfc sahaja.

Ramai tidak tahu ubi kayu adalah makanan yang baik untuk dimakan semasa menjalani ibadah puasa atau bagi mereka yang sedang mengamalkan diet pemakanan.

Nilai ubi kayu sekarang boleh dikatakan agak mahal. Semasa musim perayaan harga ubi kayu lebih mahal dari ubi kentang kerana permintaan tinggi dari pengusaha-pengusaha makanan ringan untuk dijadikan kerepek.

Jadi zaman sekarang, ubi kayu bukan makanan bertaraf rendah atau makanan orang miskin, tetapi ia satu sumber makanan penting yang boleh menjana ekonomi keluarga dan negara terutama dalam bidang pertanian.

Ubi kayu kini dijadikan menu atau hidangan di hotel dan restoran mewah. Jadi, jangan pandang rendah kepada penggemar ubi kayu. Jom tanam ubi kayu. 

No comments:

Post a Comment