Wednesday, 27 March 2019

JAMBATAN SUNGAI NENGGIRI PULAU SETELU

Jambatan konkrit bernilai RM36.7 juta merentasi Sungai Nenggiri menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli, di Kampung Pulau Setelu memberi banyak kemudahan kepada peduduk.

Pembinaan jambatan konkrit yang bermula Januari 2017 itu bagi menggantikan jambatan asal di lokasi itu runtuh pada Disember 2014 lalu ketika banjir besar melanda Kelantan yang menyebabkan jambatan sementara terpaksa dibina untuk memudahkan perhubungan penduduk.

Bah Kuning pada 2014 yang melanda Kelantan telah meranapkan Jambatan Pulau Setelu, Gua Musang apabila ratusan tan kayu balak yang dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri merempuh jambatan yang dibina pada pertengahan 1980an itu. 

Jambatan sepanjang 230 meter yang menjadi laluan utama penduduk dari Gua Musang ke Jeli itu lenyap sama sekali dan hanya tinggil dua batang 'tunggul' di tebing sungai tersebut. 

Kejadian itu bukan sahaja meruntuhkan Jambatan Pulau Setelu, bahkan kayu balak menyumbat bawah jambatan tersebut bertukar menjadi empangan, melimpahkan air Sungai Nenggiri dan menenggelamkan Pulau Stelu, sebelum ia runtuh pada kira-kira jam 2.30 petang, 23 Disember 2014.

Usai tragedi Jambatan Pulau Setelu runtuh, menyedari kegunaan amat penting kepada penduduk, pihak Angkatan Tentera Malaysia telah menggerakkan tentera untuk membina jambatan belly menggantikan jambatan baharu dibina.

Memandangkan jambatan belly itu dibina di atas paras air, setiap kali hujan lebat di hulu sungai yang merangkumi kawasan Banjaran Titiwangsa, jambatan itu akan tenggelam dan penggunaannya ditutup sementara.

Namun, segala igauan buruk dan pengalaman menempuh perjalanan bahaya di jambatan belly itu berakhir apabila Jambatan Baru Sungai Nenggiri, Kampung Pulau Setelu boleh digunakan. 

Jambatan itu lebih tinggi dan bebas banjir itu dibina oleh kontraktor ISCORP SDN BHD.

No comments:

Post a Comment